Nak tambah anak, Fizz Fairuz ‘tumbang’ 7 ekor lembu

IMPIAN ingin menambah lagi cahaya mata mendorong pelakon Datuk Fizz Fairuz menyempurnakan ibadah korban dengan ‘menumbangkan’ sebanyak tujuh ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Fizz atau nama lengkapnya Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata,  jumlah tujuh ekor lembu itu sebagai simbolik kepada hasratnya yang ingin menambah tiga lagi cahaya mata menjadi tujuh.

“Sembelih tujuh ekor lembu sebab saya mahu tujuh orang anak.

“Emak saya mempunyai sembilan orang anak, saya nak ‘lawan’ tetapi tidak larat pula. Jadi, cukuplah sekadar tujuh orang, insya-Allah,” kata Fizz.

Pelakon berusia 43 tahun itu menyifatkan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu buat mereka sekeluarga tambahan pula ibunya beraya bersama.

“Untuk raya haji tahun ni, saya tidak balik kampung kerana mak saya ada di sini dan kami sekeluarga akan menyembelih tujuh ekor lembu di sini.

“Saya boleh katakan raya haji tahun ini adalah raya paling meriah,” kata pelakon yang bakal muncul menerusi filem Sue-On, tidak lama lagi.

Berkongsi erti korban, bapa kepada empat cahaya mata itu mengagumi pengorbanan isterinya, Datin Almy Nadia yang merupakan individu paling banyak berkorban untuk dirinya dan anak-anak.

“Korban bagi saya ialah pengorbanan seorang ibu buat anak-anak.

“Ibu sanggup melakukan apa saja untuk anak-anak demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

“Jujurnya saya terharu melihat apa yang dikorbankan selama ini. Kalau anda duduk serumah dengan saya, anda boleh lihat bagaimana dia (isteri) berkorban setiap hari. Banyaklah pengorbanan yang dilakukan,” ujarnya

Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 26 April 2004.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata perempuan, termasuk iaitu Afrina Arianna, 6, Afrina Aurora, 5, Afrina Ayra, 4 dan Nur Afrina Aisyah, 2. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok