‘Mungkin ada berita baik’ – Syamsul Yusof

KUALA LUMPUR – “Insya-Allah hari ini akan selesai dan kemungkinan ada berita baik.”

Demikian respons pengarah sensasi Syamsul Yusof ketika tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada hari ini bagi prosiding pengesahan perceraian.

Syamsul atau nama lengkapnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, berharap dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah secara baik.

“Percubaan selesaikan secara baik itu berlangsung minggu lepas.

“Tidak perlu gelisah sebab kes ini sudah lama berlaku.

“Saya dan Sarah hanya fikirkan satu perkara iaitu mengenai anak-anak sahaja,” katanya yang kelihatan ceria semasa tiba di mahkamah hari ini.

Hari ini, peguam syarie mewakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu kemungkinan kes perceraian pasangan tersebut berakhir hari ini sekiranya Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya itu.

Terdahulu, hakim syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat sebanyak dua kali oleh Syamsul.

Walau bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mengetahui dapatan laporan JKP berkenaan memandangkan dibuat secara berasingan.

Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.

Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari tahun ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya meletus sejak empat tahun lalu.

Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok