Mama pergi dengan baik – Kilafairy

SUBANG JAYA – “Mama pergi dengan baik. Saya reda bersyukur dapat berbakti hingga ke akhir hayatnya”.

Demikian luahan pelakon dan penyanyi, Kilafairy yang reda dengan pemergian ibunya, Rohana Jalil, malam tadi.

Kila atau pemilik nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan, bersyukur berpeluang melaksanakan tanggungjawab akhir sebagai apabila dapat memandikan dan menyempurnakan pengebumian ibunya.

“Alhamdulillah.. mama pergi dalam keadaan baik dan semuanya dipermudahkan. Malah, mama juga pergi dalam keadaan tersenyum.

“Saya sedih dengan pemergian arwah, namun hasil didikan kedua ibu bapa membuatkan saya reda berdepan ketentuan Allah SWT.

“Saya dapat berada di sisi mama dari awal sehingga pengakhiran yang membuatkan saya lega.

“Malah, saya juga di sisi sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir dan diberi kesempatan untuk memandikan jenazah.

“MasyaAllah pengalaman itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin itu juga membuatkan saya lebih tenang menghadapi dugaan ini,” katanya kepada kepada Kosmo Online.

Menurut anak bongsu daripada tiga bersaudara itu, dia bukan tidak mahu berkongsi perkembangan kesihatan ibunya, cuma belum bersedia memuat naik sebarang perkongsian berhubung pemergian ibunya.

“Mungkin bukan sekarang, dalam dua tiga hari lagi tetapi apa pun saya terharu dengan kata-kata positif dan tak sangka hari ini ramai bagi memberikan penghormatan terakhir,” katanya LAGI.

Akui Kila, pemergian ibunya meninggalkan impak mendalam tambahan pula sebagai anak bongsu dan tinggal serimah, semua perkara dikongsi berdua.

“Saya belum mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama ibu bapa, semestinya saya rapat dengan mereka.

“Paling saya rindu adalah nasihat, jenakanya dan tentu saja masakan mama seperti lontong, laksa Johor dan banyak lagi,” katanya.

Jenazah Allahyarham Rohana Jalil, 68, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Selepas dua bulan berjuang, arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.33 malam pada usia 68 tahun berikutan jangkitan kuman pada organ lain. – HIB GLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok