Konsert Tiara Andidi di KL terpaksa dibatalkan

Konsert Tiara Andini Live in Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang, malam ini dibatalkan.

Pembatalan konsert penyanyi dari Indonesia itu diumumkan penganjur, Rel-Event Malaysia menerusi Instagram mereka.

“Dukacita dimaklumkan disebabkan isu yang tidak dapat dielakkan, konsert Tiara Andini Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 24 Jun 2023, pukul 8.30 malam, dibatalkan.

“Setiap tiket konsert yang sudah dibeli akan diberikan jumlah ‘refund’ (harga tiket tidak termasuk caj pemprosesan) dalam masa 30 hari bekerja ke akaun bank asal sewaktu pembelian,” tulis kenyataan tersebut

Menerusi hantaran sama, penganjur turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“Kami dari pihak Rel-Event dan pihak pengurusan artis berasa amat terkilan dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.

“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan dan pemahaman anda sepenuhnya. Terima kasih,” tulisnya.

Hantaran di Instagram itu turut dikongsi penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti popular, Indonesian Idol 2020 di Instagram Story.

Begitupun, kedua-dua pihak tidak menyatakan punca pembatalan tersebut.

Tiara, 22, mula serius membina nama sebagai penyanyi juga pelakon sekitar tiga tahun lalu usai menyertai program realiti popular itu.

Lagu pertamanya yang dilancarkan pada 28 Februari 2020 berjudul Gemintang Hatiku tersenarai dalam carta Top 100 Spotify Chart hari pertama dikeluarkan.

Memenangi trofi Pendatang Baru Terbaik dalam Anugerah Muzik Indonesia (AMI) tahun sama, Tiara turut meraih penghargaan Best New Asian Artist dari Indonesia di pentas berprestij Mnet Asian Music Awards (MAMA). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok