PERNAH satu ketika, pelakon berdarah campuran India dan Cina, Jasper Supayah digugurkan daripada sebuah projek hanya disebabkan bukan berbangsa Melayu.
Malah terdapat orang industri yang memanggilnya dengan panggilan tidak sepatutnya atas alasan dia kacukan India.
“Sebelum ini, ada orang industri yang pada awalnya mahu ambik saya berlakon, bila semua sudah confirm, pada saat akhir mereka terpaksa gugurkan nama saya hanya sebab nama saya ada ‘anak perempuan’.
“Dengar macam biasa, tetapi terlukanya di hati, hanya saya yang tahu.
“Itu tidak termasuk orang industri yang memanggil dengan panggilan menghina, tak tahu apa motifnya panggil saya dengan panggilan sedemikian,” katanya.
Justeru, Jasper kini mengambil langkah untuk sentiasa berhati-hati agar tidak terlalu bercerita dan rapat dengan orang dalam industri.
“Pengalaman mematangkan saya, jadi saya banyak mengambil langkah untuk berhati-hati dengan semua orang, tidak semua orang boleh dipercayai.
“Jujurnya, industri kita sebenarnya sangat fake, depan kita bagaikan syurga, belakang kita macam neraka,” luah Jasper.
Ditikam kecaman bersimbah kata nista, jiwa mana yang tidak meronta, hati mana tidak terluka, begitu jua Jasper.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkapnya Jasper James Supayah itu mengambil pendekatan berdamai dengan diri. Caranya, dia menenangkan diri dengan bercakap di hadapan cermin sebagai motivasi.
“Ada masa saya sangat ‘koyak’, sampai satu saat saya terpaksa menenangkan diri saya dengan berdiri depan cermin dan memberikan kata-kata motivasi kepada diri sendiri.
“Kadang, bila kita rasa terlalu sunyi dan terlalu sakit, kita kena cakap dengan diri kita sendiri, kalau bukan kita yang cakap benda baik-baik untuk diri sendiri, siapa lagi?.
“Pada saya, tiada orang lagi kuat daripada diri sendiri yang boleh beritahu apa yang kita mahu dengar. Kaedah self motivation yang saya selalu guna itu benar-benar menjadi buat saya,” luahnya sayu.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari www.kosmo.com.my