Hafidz Roshdi nafi tuduh isteri gugurkan kandungan, cuma ada bukti

PELAKON Hafidz Roshdi nafi membuat tuduhan palsu terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri berhubung isu penguguran ketika kandungan berusia 14 minggu sekitar Mei lalu.

Katanya, perkara tersebut diketengahkan berikutan terdapat bukti sahih yang diperoleh daripada komunikasi antara mereka menerusi aplikasi Whatsapp.

“Semuanya berdasarkan apa yang telah dimaklumkan kepada saya berdasarkan komunikasi WhatsApp dan kemusykilan yang timbul sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, semalam.

Bintang drama Ku Punya Hati itu dan isterinya hadir bagi prosiding pengesahan lafaz cerai, namun mahkamah menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh baharu iaitu selepas mereka selesai memberi kenyataan bertulis serta lisan.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, banyak perkara dalam media sosial yang memburuk-burukkannya biarpun dia mengambil pendekatan enggan berbalas kenyataan.

“Demi perkembangan hidup baharu yang lebih sihat, saya ingin menegaskan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Pihak kami berdiam diri, tetapi tidak bermakna kami salah malah kami mengambil masa ini untuk bertenang. Namun saya masih terus mendapat kecaman di media sosial.

“Sekiranya saya juga menjawab dan berbalas-balas di media sosial, tiada kesudahan selain menjadikan keadaan semakin lebih keruh,” luahnya.

SHUHADA tetap dengan pendirian bahawa tindakan menuntut cerai berpunca daripada sikap Hafidz Roshdi yang mempunyai hubungan dengan wanita lain. Foto: AFIQ RAZALI

Buat masa ini, akuinya dia masih menjaga erat aib serta kekurangan Shuhada sebagai isteri selama ini, cuma jika situasi masih berterusan, tindakan mengikut saluran undang-undang akan diambil.

Malah, Hafidz yang hanya membaca kenyataan di kertas yang dipegang berharap semua pihak memberi ruang kepadanya dan keluarga menempuhi dugaan.

“Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, kita mesti terus berusaha memperbaiki diri.

“Ada yang menegur, mengata dan ramai juga menjadi pengadil. Adalah lebih baik semua pihak menjaga lisan berlandaskan agama dan adab, kerana kita tidak tahu apakah yang didengar dan dibaca itu betul atau salah.

“Jadi saya berharap agar semua menghormati privasi saya dan keluarga, demi masa depan terutama dalam mencari nafkah buat Humairah dan Umar,” katanya.

Mahkamah menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh baharu bagi prosiding lafaz cerai pasangan berkenaan selepas plaintif dan defendan selesai memberi kenyataan secara bertulis serta lisan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok