Ella buat ‘rekod’ lagi, tiket konsert di Singapura, 2 jam ‘licin’

SELEPAS di Axiata Arena, respons dan kegilaan peminat merebut tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri versi Kota Singapura mencetuskan reaksi  berbilang rasa apabila semuanya habis terjual dalam masa dua jam selepas kaunter jualan online dibuka tepat pukul 10 pagi, hari ini.

Terharu dengan sambutan luar biasa, Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin, menerusi perkongsian dalam Instagramnya merakamkan ucapan terima kasih dan kesyukuran tiada terhingga.

“Alhamdulillah, tiket Jilid Akhir: Ella Kota Singapura telah habis dijual. Sold Out! Terima kasih semuanya.

“Jaga diri, kita jumpa malam 18 Ogos 2023 nanti. Peace. Love. Rindu,” tulisnya.

Difahamkan sebanyak 5,000 keping tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Singapura yang bakal berlangsung di The Star Theatre Singapore habis terjual. Tiket dijual bermula pada harga SGD69 (RM237) sehingga SGD249 (RM857).

Meninjau dalam ruangan komen, ramai peminat melahirkan rasa kecewa apabila gagal membeli tiket konsert berkenaan selepas habis terjual dalam masa singkat.

Malah, ramai juga penggemar dari ‘kota singa’ meminta Ella untuk menambah satu hari lagi, menjadi dua hari kerana enggan melepaskan peluang menyaksikan persembahan dari ratu rock negara itu.

“Nak nangis (menangis). Tiket habis. Buka satu hari lagi. Tolonglah,” gesa seorang peminatnya.

“Sekali lagi dalam masa 24 jam tiket habis terjual. Tolong tambah sehari lagi, saya betul-betul mahu menyaksikan konsert Ella,” kata seorang lagi peminatnya.

“Tolong! Tolong! Tolong! Buat dua hari konsert. Saya terlepas membeli tiket sebab habis terjual,” minta seorang netizen.

Menjawab permintaan peminatnya, Ella tidak menjanjikan akan menambah bilangan hari, namun meminta peminat untuk mendoakan jika harapan tersebut menjadi kenyataan.

“Baik, doakan ya. Insya-Allah,” balas Ella.

Minggu lalu, Ella melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Most Consert Tickets Sold Out: 10,000 Tikckets in 24 Hours oleh Malaysia Book of records.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepadanya selepas konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 dan 11 Jun lalu.

Ella Ketika ditemui usai konsert menzahirkan rasa bangga dengan pengiktirafan tersebut dan berterima kasih kepada pihak yang memberi penghormatan kepadanya.

Penganjuran konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota diadakan bersempena pembabitannya dalam industri seni hiburan tempatan selama 35 tahun.

Pada masa sama, Ella turut menafikan penganjuran konsert tersebut sebagai ‘noktah’ terhadap kerjaya nyanyiannya selepas 35 tahun. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok