Digosip jadi bini muda A.R Badul, Annie Arifin nak saman penerbit

PELAKON Annie Arifin naik berang apabila namanya dimanipulasikan kononnya mempunyai skandal demgan otai A.R Badul sebagai gimik promosi filem lakonannya, Vik2ria Secret.

Tidak berdiam diri, Anne yang juga heroin filem berkenaan tampil membuat satu laporan polis bagi membersihkan namanya, bahkan reputasi Badul sendiri sebagai pengarah filem terbabit.

“Dua tiga bulan lalu, penerbit filem ini, Richard Ung bagi cadangan kononnya nak buat gosip saya dan A.R Badul ada skandal, tetapi saya bantah selain maklumkan padanya takkan teragak-agak saman.

“Saya terkejut gosip nikahi  pengarah itu tetap disebarkan sehari sebelum malam gala yang mencetuskan kekecohan. Emosi saya terganggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut aktres berusia 39 tahun itu, A.R Badul yang juga turut menolak cadangan gimik tidak masuk akal seperti itu kerana menjatuhkan maruah.

Namun, memandangkan perkara berkenaan sudah menjadi buah mulut orang, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada penerbit untuk tampil menjernihkan keadaan.

“Mana janjinya? Saya masih simpan tangkap layar perbualan dengan Richard yang berjanji tidak akan menjawab jika isu nikah ditanyakan media, tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Kalau saya nak buat cerita sensasi sejak dulu lagi bukan pada usia sekarang dan ketika sudah ada anak. Selepas 10 tahun bergelar pelakon tak pernah terpalit gosip tak masuk akal.

“Saya bagi masa seminggu. Jika tiada apa-apa tindakan, saya akan rujuk pada peguam kerana laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Setapak Khamis lalu,” katanya.

Anne turut menjelaskan punca ketidakhadirannya ke malam gala filem berkenaan bukan disebabkan boikot atau keengganan bertemu media namun disebabkan keadaan kesihatan bapanya yang tidak mengizinkan.

“Saya bergegas pulang ke kampung di Kedah kerana bapa saya sakit. Richard pun izin jadi tiada isu saya nak boikot filem ini.

“Paling sedih ketika bapa sakit timbul pula gosip kahwin ini sampai kecoh satu kampung. Mana saya dan keluarga nak letak muka?,” katanya yang menyifatkan gosip sedemikian satu penganiayaan terhadap dirinya.

Terdahulu, nama Annie tiba-tiba dipanaskan dengan khabar angin kononnya sudah bergelar isteri kepada A.R Badul. Situasi tersebut tercetus hanya dalam beberapa hari sebelum tayangan perdana filem Vik2ria Secret yang menemui penontoj bermula 15 Jun lalu.

Naskhah komedi tersebut turut dibintangi Ropie, Man Raja Lawak, Che Mat, Fiza Halim, Wan Gegau, Amaris dan Fared Adnan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok