Cantiknya bahasa kakak-kakak ni – Siti bahasakan netizen mulut jahat

PETALING JAYA – ‘Cantiknya bahasa kakak-kakak ni’

Demikian respons penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terhadap dua individu yang mencerca dan mempersendakan judul serta hiasan kulit album terbaharunya, Sitism.

Menerusi perkongsian dalam InstagramStory miliknya, penyanyi berusia 44 tahun itu memuat naik satu tangkap layar menunjukkan dua individu yang lantang memperlekehkan konsep ala ‘cyber retro futurism’pilihan kulit albumnya.

Menurut netizen berkenaan, sebagai penyanyi senior, sudah bukan tahap Siti Nurhaliza tampil dengan konsep sedemikian.

“Sitism katanya. Bila cari (di internet) keluar Autism.

“Kau dah level penyanyi senior yang ada nama, bukan level kau keluar album dengan imej macam ini. Siapa la yang cadangkan penyanyi bernombor keluar album dengan konsep yang begini,” kata netizen itu.

Tidak cukup dengan itu, individu tersebut menyamakan ‘headphone’ yang dipakai oleh Siti dalam foto kulit albumnya sebagai alat yang digunakan untuk pesakit mental.

“Dekat kepala tu peranti untuk rawatan orang sakit mental kan?,” tulisnya sinis.

Tidak mendiamkan diri, pelantun lagu ‘Siapa Tak Mahu’ itu meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar memeriksa akaun yang digunakan individu tersebut agar dikenakan tindakan lanjut.

“Cantiknya bahasa kakak-kakak ni, kita bagi SKMM periksa kejap!,” tegas Siti. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok