Aina ‘tunduk’ pada netizen, ‘puasa’ fesyen pelik demi ibu

PENYANYI popular, Aina Abdul akur dengan desakan netizen yang menuntut dirinya berhenti daripada berfesyen pelik atau avant-garde terutama sepanjang duduk di kerusi juri program Big Stage musim kelima.

Menurut Aina, 30, keputusan untuk meninggalkan gaya yang sinonim dengan dirinya juga dibuat demi menghormati permintaan dan nasihat makan dalam ibunya sendiri agar berhenti daripada mengundang kebencian orang.

“Emak ialah penyampai maklumat saya selain pengkritik utama, bila dia nasihatkan saya berkaitan pakaian, saya perlu akur dengan permintaan emak juga. Emak cakap, tak payahlah (pakai baju pelik), pakai biasa saja  makin lama orang membenci, itu semua doa,” kongsi Aina kepada HIBGLAM.

Pernah menggayakan gaun persis toto dan brokoli yang dianggap menghalang pemandangan penonton pada konsert minggu-minggu terdahulu, Aina yang hanya menggayakan sut ‘over size’ warna kelabu pada konsert minggu keenam, Ahad lalu mengakui terlalu penat dengan kutukan yang dilemparkan kepadanya setiap kali tampil menggayakan busana pilihan.

“Saya juga manusia biasa, saya ada hati sama juga macam semua orang, rasa tak seronok bila kita buat sesuatu, kita asyik fikir apa orang suka dan tak suka. Saya sebenarnya sudah letih dengan kecaman sedemikian.

FESYEN gaun ‘toto’ yang disifatkan Aina paling banyak menerima kutukan khalayak setakat ini.

“Memang betul kena abaikan haters tapi saya kena fikirkan juga perasaan mak saya memandangkan mak saya sentiasa mengikuti perkembangan saya dalam platform media sosial, mak baca komen,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi asal negeri sembilan itu tidak akan meninggalkan jenama ‘Aina Abdul’ yang dibawa sejak sekian lama dan memilih untuk melepaskan ‘gian’ berfesyennya ketika konsert A Night with Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, kelak.

“Saya akur dengan netizen cakap, kadangkala ianya okey untuk kata ‘ya’ pada permintaan netizen. Saya tak ada rasa nak lawan netizen atau lemah sebab ikut kata mereka namun saya percaya pada akhirnya, pakaian tetap pakaian, kalau netizen suka pakaian saya macam ini (sederhana) syukurlah. Jujurnya saya ada macam-macam idea baju untuk Big Stage tapi tak mengapalah saya simpan dan pakai masa konsert saya sendiri nanti,” ujar Aina.

Ini bukanlah kali pertama Aina ditikam kecaman bahkan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu tidak pernah gagal mengundang tohmahan netizen apabila  sebelum ini pernah didakwa menggayakan tudung saling tidak tumpah seperti biarawati gereja atau rahib. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok