81 tahun, Harrison Ford masih Indy ‘bergetah’

SEKIRANYA Indiana Jones and the Dial of Destiny adalah filem terakhir Harrison Ford memainkan peranan ikonik ahli arkeologi dan profesor terkenal dunia itu, kini dia sudah boleh ‘bersara’ dengan senyuman lebar.

Sepanjang 15 tahun selepas peluncuran filem terakhir, Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull, Harrison kembali dengan karya terbaharu francais filem kesayangan itu.

Sejujurnya, penulis bukanlah ‘penjejak’ jenama filem Indiana Jones, namun mengakui Harrison seorang pelakon berstatus legenda di Hollywood. 

Malangnya, sehingga ke ini, Harrison belum pernah menerima trofi Oscar meskipun hampir meraih kejayaan itu apabila tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada 1985 menerusi watak seorang detektif dalam filem  Witness. 

‘Selamat tinggal’ Harrison

Berbalik tentang kualiti Indiana Jones and the Dial of Destiny, satu perspektif yang dinukilkan pada perenggan pertama, namun ada juga satu fokal yang menarik nafas lega dalam kalangan audiens andai kali ini adalah penampilan terakhir Harrison sebagai Indy. 

Dia sudah berusia 81 tahun. Sudah sampai waktunya dia berehat ‘berlagak’ detektif meskipun ramai yang terus mengharapkan agar legasi Indy diteruskan. Boleh diteruskan, namun perlu diadun dengan formula baharu yang lebih memberikan dampak atau tidakpun, biarlah apa yang sudah tercatat indah, bernoktah di situ. 

Indiana Jones and the Dial of Destiny, sebuah karya yang okey, namun buat generasi baharu yang memang tidak tahu apa-apa tentang dunia Indy, boleh ternganga dibuatnya. 

Dalam pada mereka ternganga, barangkali bapa atau datuk mereka sakan bersorak dalam dunia tersendiri. 

Mengapa? kerana berbeza generasi dan Indiana Jones sekarang barangkali tidak ‘memukul’ nostalgia barangkali seperti filem terakhir yang dirilis pada 2008. Secara peribadi buat penulis, naratif sekuel terbaharu ini tiada cela. 

Harrison sebagai Indy masih hebat. Bahkan, dia yang dimudakan atau versi de-aging untuk karakter ikonik itu juga berada pada piawaan luar biasa. 

Barangkali tempoh 15 tahun selepas filem terakhir, ramai yang mengharapkan sesuatu yang lebih menjanjikan kencang adrenalin lebih sambung-bersambung. Bukan tiada langsung dalam filem kali ini, namun kebanyakan adegan atau babak dipaparkan sepertinya sudah dijangka. 

Masih tak mengerti mengapa Indy menentang Jerman Nazi berhabis-habisan.

Kali ini, Mads Mikkelsen sebagai Jürgen Voller, bekas tentera Nazi ketika World War II tidak mengecewakan, namun pada masa sama, karakter dibangunkannya mungkin tidak akan kekal lama dalam fikiran audiens. 

Buat penulis yang kekal sedikit ‘abadi’ adalah watak dimainkan Phoebe Waller-ridge sebagai Helena Shaw. Helena adalah watak diwujudkan sebagai anak baptis Indy atau goddaughter. 

Helena curi tumpuan

Helena adalah pemangkin mengapa Indiana Jones and the Dial of Destiny tidak sepatutnya dihiraukan di pawagam. Dia menjadi alasan, mengapa filem kali ini tidak berlangsung hambar. 

Karakter Helena diterjemahkan Phoebe seorang wanita yang bijak, menawan, mandiri dan sangat disenangi. 

Disebabkan Helena, Harrison tidak terperangkap dengan ‘kebodohannya’. 

Kebodohan 

Kebodohan yang bagaimana? Jawapan buat persoalan tersebut perlu disaksikan sendiri dengan meminjamkan sedikit masa menonton Indiana Jones terbaharu di pawagam.

Penulis tiada masalah dengan elemen time-travelling atau merentasi masa yang ditampilkan, persoalannya adakah generasi sekarang mampu melihat hubung kait betapa nostalgik dan ikoniknya jenama Indiana Jones yang sudah lima kali difilemkan. 

Dari markah per 100, skor barangkali hanya sekitar 65/100. Namun, tidak salah menonton Indiana Jones and the Dial of Destiny kalau benar rindukan Harrison Ford beraksi sebagai Indy. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok