Pengarah dan pelakon berpengalaman, Sabri Yunus berpendapat maruah dan ego seseorang itu tidak akan ‘runtuh’ dengan mengakui kesilapan sendiri dan meminta maaf atas kekhilafan yang dilakukan terhadap individu lain.
Malah Sabri turut menganggap individu itu sebagai seseorang yang mulia menurut pandangan Islam.
“Betapa penting untuk seseorang meminta maaf, malah hakikatnya takkan jatuh ego pun. Mengaku kesalahan sendiri adalah lebih mulia daripada keseluruhan konteks permohonan maaf.
“Kalau bersalah, memanglah kena minta maaf, tak bersalah pun perlu meminta maaf juga sebab orang lain tetap menganggap kita bersalah.
“Ini adalah sifat yang dituntut dalam kehidupan kita insan beragama. Jadi jangan takut hendak minta maaf dan jangan bimbang jatuh maruah.
“Membuat permohonan maaf sebenarnya mengangkat darjat orang yang meminta maaf itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pengarah Pok Ya Cong Codei itu turut menegaskan, meminta maaf sepatutnya wajar dijadikan amalan dalam kehidupan bermasyarakat kerana Tindakan tersebut mampu meleraikan kekusutan dalam hubungan seseorang dengan orang sekeliling.
“Minta maaf mungkin suatu perkara yang berat buat seseorang. Tapi kalau kita lepaskan (minta maaf), kita mungkin akan berasa lebih lega.
“Saya rasa tiada masalah sebab kalau kita borak biasa pun selalu akan cakap minta maaf sebelum berlalu pergi.
“Tak jatuh ego sebab kita yang selalu merasakan berat untuk minta maaf. Sedangkan kalau melepaskan benda berat, kita sendiri akan berasa lega,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program Mega Spontan baru-baru ini.
Terdahulu, dunia hiburan tanah air hangat apabila penyanyi ‘otai’, Datuk Hattan menempelak penyampai berita Astro Awani yang menghubunginya bagi mendapatkan pandangan mengenai Allahyarham Mael XPDC.
Isu yang turut mendapat teguran persatuan mewakili kakitangan media serta netizen itu berterusan menuai kecaman hingga penyanyi terbabit mendapat ugutan bunuh dan sihir.
Namun segelintir pihak lain beranggapan tiada keperluan untuknya meminta maaf kerana didakwa boleh mencalarkan imej sebagai penghibur senior.
Hattan, 58, dalam wawancara bersama Kosmo! Online pula menyatakan hanya menunggu waktu sesuai untuk bertemu rakan media yang dipercayainya bagi merungkai situasi. – KOSMO! ONLINE