Bukan saya! Respons Vida isu tular sami baca Bismillah

TULAR sebuah video memaparkan seorang wanita memakai pakaian seperti sami Buddha sambil menyebut lafaz ‘Bismillah’ yang dikatakan mirip seperti usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, wanita itu bukanlah dirinya selepas namanya ‘dipetik segelintir netizen.

Jelas usahawan berusia 52 tahun itu, dia tidak tergamak menyekutukan (menduakan) Allah SWT semata-mata demi secebis konten.

“Bukan saya! Saya tahu sudah buat bermacam-macam benda, tapi saya tidak tergamak untuk mendua atau menyekutukan Allah SWT.

“Apa yang kalian lihat dalam media sosial itu bukan saya. Ramai ‘serang’ cakap itu saya tanpa bertanyakan sendiri kepada tuan badan.

“Saya tidak akan pernah sesekali menduakan Tuhan kerana walaupun saya suka tampil dengan imej pelik, terpekik terlolong dan suka mengusik dalam media sosial, saya tahu batasan sebagai seorang Muslim,” katanya.

Ujar pelantun lagu I AM Me itu lagi, dia tidak kisah dengan tohmahan atau kecaman netizen biarpun apa yang tular itu bukan asbab datang dari tindakan atau perbuatannya.

“Biarlah orang nak kata apa. Saya cuma jelaskan situasi sebenar bahawa wanita itu bukan saya.

“Takkan saya nak pakai macam sami Buddha dan pergi ke kuil? Memang tak masuk akal dan bila masa pula saya pergi Nepal?” jelasnya.

Berdasarkan carian dalam Internet, difahamkan wanita itu merupakan seorang penyanyi kelahiran Turkiye bernama Bulent Ersoy dan beragama Islam.

Kedatangannya di Nepal disambut meriah sehingga penduduk di sana menyembahnya ketika dia berkunjung ke sebuah kuil di sana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok