Yana Samsudin tak salah, enggan bayar Aliff Syukri RM400,000

Pelakon dan pengacara, Yana Samsudin bertegas enggan membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 seperti dituntut usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri berikutan insiden pasu hiasan mewah di rumahnya pecah, dua minggu lalu.

Kata Yana, 39, dia langsung tidak menyentuh barang berharga tersebut yang ketika itu dipegang ahli perniagaan itu, selain mempunyai rakaman kejadian sebagai bukti dirinya tidak bersalah.

“Saya memang tak pegang pasu tersebut. Ketika menemu bual Aliff, dia sendiri menunjukkan pelbagai barangan perhiasan berjenama di rumahnya termasuk pasu di dalam almari yang memiliki sijil.

“Menyedari itu barang berharga, saya tak berani sentuh, tetapi Aliff yang kemudian mengambil pasu tersebut menyuruh saya memegang pula perhiasan berkenaan. Sudah tentu saya enggan ambil.

“Ketika itulah pasu dalam pegangannya terjatuh. Sebab itu saya tak gentar dengan gertakannya. Saya tahu bukan kesalahan saya,” katanya.

Dedah bintang filem Adnan Sempit itu, dia juga tudak menyangka Aliff memuat naik video pergaduhan dengan suaminya, Fadzil Zahari yang sudah berlaku dua minggu lalu.

“Sebenarnya saya terkejut apabila klip berkenaan dinaikkan dalam Instagram selain dia membuat tuntutan sebanyak RM400,00 kerana saya sangka isu tersebut diselesaikan oleh penerbit program, Alif Farhan.

“Hal ini kerana kejadian yang disebutkan berlaku sewaktu kami menjalani rakaman untuk sebuah program bagi siaran hari raya nanti yang mempertanggungjawabkan saya sebagai hos.

“Apatah lagi dalam kenyataannya, Aliff turut menuntut saya untuk membayar ganti rugi dalam jumlah yang disebutkan atau bakal berdepan tindakan saman,” katanya.

Sementara itu, mengulas kekesalan orang ramai yang menganggap pemilik nama sebenar, Norliana Samsudin itu terjebak dengan ‘permainan’ promosi Aliff, dia menegaskan kejadian tersebut bukan publisiti murahan.

“Memang Aliff mengamuk dan mengeluarkan perkataan menghina sehingga suami saya yang mendengar hilang sabar kerana dia yang hempas pasu, saya pula dipersalahkan.

“Dalam video tular itu orang kata saya macam berlakon, tetapi saya ketika itu saya kebingungan disebabkan terkejut Aliff tiba-tiba datang kepada kami sambil marah-marah.

“Lagipun saya tak pecahkan barang mewahnya itu, jadi sudah tentu saya tak nampak langsung rasa takut,” tambahnya.

Terdahulu, video pergaduhan Aliff dan Fadzil tular apabila usahawan itu mengamuk serta menuduh Yana memecahkan pasu hiasan mewah berharga RM400,000 ketika rakaman program raya di kediamannya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok