Wali Band kongsi pentas bersama Floor 88

SELEPAS enam tahun hilang dari radar muzik di Malaysia, kumpulan terkenal Indonesia, Wali Band teruja apabila diberi peluang kembali beraksi di Kuala Lumpur menerusi konsert Dream Festival Collaboration Vol.2, Mei depan.

Pemain dramnya, Ihsan Bustomi berkata, mereka berbangga dapat berkongsi pentas dengan kumpulan pemuzik hebat Malaysia yang turut tular di Indonesia, Floor 88.

Kerinduan 6 tahun

“Alhamdulillah hampir enam tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur, kami gembira dan bersyukur dapat berjumpa dengan peminat-peminat kami di sana.

“Selain itu, teruja untuk berkongsi pentas dengan Floor 88. Lagu mereka tidak asing bagi kami dan peluang ini kami anggap sebagai penghargaan besar. Kami senang sekali dapat bekerjasama dengan band yang paling hype di Malaysia ini.

“Pastinya, kami akan berkolaborasi dengan mereka di atas pentas nanti. Apa yang penting, lagu yang dipilih nanti akan membuatkan peminat yang datang senang dan puas melihat persembahan kami,” kata Ihsan Bustomi usai sidang media secara virtual, Selasa lalu.

KUMPULAN Wali Band dari Indonesia menjanjikan persembahan terbaik di Zepp KL pada 20 Mei depan.

Selain Tomi, Wali Band turut dianggotai Farhan Zainal Muttaqin atau Faank (vokalis), Aan Kurnia (Apoy/gitaris) dan Hamzah Shopi (Ovie/keyboard).

Dream Festival Collaboration Vol. 2 akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei depan, bakal menyaksikan Wali Band beraksi selama satu setengah jam dengan membawakan lagu-lagu popular mereka.

Antara lagu popular Wali Band termasuk Doaku Untukmu Sayang, Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

“Jika ditanya mengenai persiapan, kami masih meneliti senarai lagu yang menjadi kegemaran peminat di Malaysia.

“Kami turut mendapatkan pandangan peminat, terutama di media sosial mengenai lagu yang disukai mereka.

“Dari situ, kami akan rangka konsep persembahan yang bersesuaian untuk memberi kepuasan kepada peminat di Malaysia,” katanya.

Peluang emas

Sementara itu, kumpulan Floor 88 pula menyifatkan tawaran beraksi bersama Wali Band sebagai peluang keemasan, apatah lagi karya kumpulan popular Indonesia itu sentiasa menjadi rujukan mereka.

“Kami bersyukur terpilih untuk berkongsi pentas dengan nama besar seperti Wali Band.

“Ini peluang keemasan buat kami menimba pengalaman dengan kumpulan yang sudah 24 tahun bertahan dalam industri muzik.

“Sudah tentu kami tidak sabar bertemu pemuzik yang menjadi rujukan kami sejak di bangku sekolah lagi.

FLOOR 88 berbesar hati diberi peluang kongsi pentas dengan Wali Band.

“Berkongsi pentas bersama mereka adalah penghormatan besar dan kami akan buat yang terbaik untuk konsert itu nanti,” kata vokalisnya, Ayie.

Selain Ayie, Floor 88 turut dibarisi Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Eric pula berkata, disebabkan terlalu teruja, mereka terus memberikan kata persetujuan sebaik sahaja menerima pelawaan untuk beraksi bersama Wali Band.

“Ramai yang menanti kemunculan mereka di sini. Pastinya menerusi kolaborasi ini, kami berharap ia akan memberi impak baharu terhadap industri muzik Malaysia dan Indonesia.

“Muzik itu universal dan menjadi penyambung manusia sejagat. Apatah lagi, muzik yang dibawakan Wali Band dan Floor 88 tidak jauh beza apabila menyatukan unsur humor dan mesej yang jarang diketengahkan pemuzik lain,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) serta boleh ditempah menerusi laman, ticket2u.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok