Percintaan penyanyi terkenal Shila Amzah bersama pempengaruh media sosial, Ubai sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas difahamkan sudah membeli cincin ‘tanda’ simbolik hubungan mereka.
Menerusi sebuah perkongsian video yang dimuat naik malam tadi, pasangan kekasih itu dilihat berada di sebuah kedai barangan kemas, sekali gus mencetuskan spekulasi sana ada mereka bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
“Hari ini, ambil cincin saya.
“Saya kata ‘ya’. Terima kasih buat kalian kerana mendoakan yang baik-baik,” kata pemilik nama penuh penuhnya Nurshahila Amir Amzah berkenaan.
Difahamkan, cincin yang dibeli Ubai untuk pelantun lagu Patah Seribu itu adalah sebagai tanda kepada hubungan cinta yang terjalin sejak awal tahun ini.
Sementara itu, menjawab pertanyaan netizen mengenai terdapat pihak yang melemparkan pandangan buruk terhadap hubungan cinta mereka, Shila menjelaskan dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak sama ada melalui corak perhubungan dan kemesraannya bersama Ubai.
“Saya dan Ubai sudah berdamai dengan keadaan di mana kami tidak akan dapat puaskan hati semua orang,
“Apa yang penting ialah kami tahu tentang hubungan ini dan fokus pada perkara yang baik-baik sahaja,” ujarnya.
Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata peminat pasangan tersebut memberi restu dan berharap hubungan mereka berakhir ke jenjang pelamin.
“Rasa seronok melihat Shila bahagia dengan Ubai. Semoga kekal ke akhir hayat.
“Alhamdulillah tahniah, tak sabar pula nak dengar pengumuman tarikh kahwin mereka nanti,” komen segelintir netizen.
Sekitar Februari lalu, Shila mengakui sedang menjalin percintaan dengan Ubai sejak tahun lalu.
Penyanyi itu turut mengharapkan netizen tidak membuat sebarang spekulasi tentang hubungan mereka.
Terdahulu, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE