‘Sedarkah dosa kamu’, luahan ibu Syamsul Yusof

Berita mengenai ikatan antara Syamsul Yusof dan isteri, Puteri Sarah Liyana yang bakal bernoktah sebaik talak dilafazkan pada 18 April ini meraih pelbagai reaksi.

Bapa dan ibu kepada pengarah sensasi itu, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail reda dengan keputusan dipersetujui mereka walau jauh di sudut hati terdetik rasa sayu.

Patimah tidak menunggu lama menzahirkan emosi dengan menujukan luahan pilu terhadap individu yang didakwa sebagai punca anak serta menantu kesayangannya itu bercerai.

“Sedarkah dosa kamu yang telah menghancurkan sebuah masjid dan membuat air mata seorang ibu mengalir tanpa henti,” tulisnya dalam hantaran Instagram menggambarkan perasaannya ketika ini.

Beberapa hari lalu, Patimah berkongsi petikan mengenai perasaan seorang ibu mentua yang memahami pengorbanan menantu sebaik bergelar isteri.

LUAHAN daripada Patimah selepas Syamsul bersetuju menceraikan Puteri Sarah pada 18 April ini.

Semalam, kemelut rumah tangga antara Syamsul dan isteri pertamanya itu hampir selesai selepas sutradara berusia 39 tahun itu bersetuju melafazkan talak kepada Puteri Sarah pada 18 April ini.

Pasangan berkenaan sepakat untuk bercerai dan menggariskan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak selepas bersemuka pada Ahad sebelum hadir ke mahkamah keesokan harinya (semalam).

Berbeza dengan situasi dingin sebelum ini, Syamsul dan Puteri Sarah dilihat berdamai apabila turut jalan beriringan dan berbual ketika hadir bagi prosiding kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan permohonan perceraian pada 16 Januari lalu, namun Syamsul enggan menceraikannya atas alasan yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang.

Puteri Sarah dilaporkan nekad bercerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu sebaik Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, serta Sumayyah, 4. – KOSMO ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok