Pasu RM400,000 Aliff Syukri terpecah, Yana kunci mulut, netizen sangsi

Gara-gara insiden terpecahkan pasu hiasan berharga hampir RM400,000 milik Datuk Seri Aliff Syukri, pelakon popular Yana Samsudin menjadi mangsa kecaman netizen.

Yana bagaimanapun lebih selesa mengunci mulut daripada membalas komen atau memperincikan lebih lanjut berkenaan ‘kemalangan’ yang berlaku dua minggu lalu itu.

“Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu,” ulasnya ringkas menerusi perkongsian di Instagram dua jam selepas Aliff Syukri memuat naik video pergaduhan antara mereka semalam.

Perkongsian Yana itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden yang membuatkan suaminya, Fadzil Zahari terpaksa masuk campur selepas usahawan tersebut mendesak pelakon Bini-Biniku Gangster itu membayar ganti rugi dengan nada tinggi.

Pergaduhan yang menunjukkan Fadzil dan Aliff Syukri bergelut dan nyaris bertumbuk itu diperkatakan ramai selepas ahli perniagaan berkenaan berkongsi video mengenainya dalam Instagram.

Bagaimanapun, rata-rata netizen menganggap itu semua antara strategi mempromosikan program yang bakal disiarkan pada musim raya nanti, apatah lagi dalam klip video tersebut Yana seperti menahan ketawa dan tidak realistik dalam lakonan.

“Anda dalam rancangan ‘wa kena beb’, edisi raya”, itu sindiran seorang pengikutnya.

“Ambil ‘job’ Pak Mat Western lagi bagus daripada ‘prank’ macam ni,” tambah seorang netizen.

“Yana acah-acah terhuyung-hayang pegang kepala macam cerita Mami Jarum. Cuba realistik lakonan masing-masing,” ulas seorang lagi pemilik akaun lain.

Laman Instagram Aliff Syukri pula lebih teruk diserang dengan pelbagai teori hingga ada dalam kalangan meminta personaliti dikenali ramai itu berehat daripada berlakon.

“Datuk tiada bakat dalam bidang seni, berlakon pun keras macam kayu. Saya cadangkan Datuk berehat di bulan mulia ini,” kata netizen.

Sementara itu, penerbit program, Alif Farhan, pula tampil memohon maaf kepada kedua-dua pihak.

Katanya, kejadian pergaduhan yang tercetus selepas ‘kemalangan’ tidak disengajakan itu dikatakan akibat salah faham.

“Saya Alif Farhan selaku penerbit dan hos, bertanggungjawab dan ingin meminta maaf secara terbuka kepada kedua-dua pihak, Datuk Seri Aliff Syukri serta Yana Samsudin dan Fadzil Zahari atas insiden yang tak diingini.

“Ini berpunca daripada sedikit salah faham ketika penggambaran program raya sebelum ini,” katanya dalam perkongsian di Instagram.

Produser terbabit juga memaklumkan buat masa ini dia tidak boleh menjawab sebarang soalan media, selain menyatakan satu sidang media bersama peguam akan diadakan esok.

“Kepada rakan wartawan, saya terpaksa berdiam diri daripada mengulas lebih lanjut tentang hal ini untuk elakkan daripada mengeruhkan lagi keadaan.

“Hal ini masih lagi dalam perbincangan dan doakan supaya kedua pihak dapat capai kedamaian

“Isnin ini saya dan peguam saya akan buat sidang media secara online untuk menjelaskan video yang tengah viral,” katanya.

Pada masa sama, cubaan untuk mendapatkan ulasan terkini Yana dan Fadzil tidak berjaya apabila pasangan tersebut tidak menjawab panggilan mahu pun membalas mesej.- KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok