Lagu raya malar segar bergema di DFP 6 Mei

Kejayaan Konsert Cahaya Aidilfitri -Tribute To S. Atan 2022 tahun lalu yang meraih sambutan hangat mendorong Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) meneruskan lagi persembahan khas sempena Syawal untuk tahun ini.

Dinamakan Konsert Raya Sepanjang Zaman, Datuk Hail Amir, Sanisah Huri, Ziana Zain dan Bob Yusof, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bakal bergema dengan seleksi malar segar dendangan Syawal yang menggamit nostalgia pada 6 Mei depan.

Konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose berkata, pemilihan penyanyi serta repertoir lagu bersandarkan pandangan orang ramai diharap mampu memenuhi selera.

“Kami mengambil kira buah fikiran khalayak disertakan dengan permintaan dan maklum balas penonton bagi menyemarakkan lagi konsert kali ini.

“Pada masa sama penambahbaikan dilakukan supaya dapat menyajikan sebuah persembahan mantap dengan seleksi lagu raya yang menggamit kenangan disampaikan barisan penghibur hebat.

“Ini juga langkah memartabatkan lagu Melayu selaku khazanah tempatan selain bertepatan sambutan ulang tahun MPO yang ke-25 tahun ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Akui Ahmad Muriz, bukan sekadar selektif dalam memilih penyanyi dan senarai lagu, konsert tersebut juga turut diperkuatkan dengan pembabitan seramai 65 pemuzik berpengalaman dari seluruh pelosok dunia, sekali gus dijangka meninggalkan impak maksima.

PENYANYI Datuk Hail Amir (kiri) dan Bob Yusof (kanan) antara penghibur yang akan menjayakan Konsert Raya Sepanjang Zaman. Foto – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

“Kami akan menyajikan 17 dendangan termasuk instrumental selain beberapa lagu yang disampaikan secara medley serta nyanyian duet,” katanya.

Tambahnya, lagu-lagu yang bakal dihidangkan kepada penonton adalah daripada pelbagai rentak yang menjurus kepada seleksi hit kesukaan ramai.

“Kami sengaja menyatukan artis senior dan generasi muda, manakala repertoir persembahan pula membabitkan nyanyian asal penghibur lagenda seperti Datuk Sharifah Aini.

“Tanggungjawab membawakan lagu biduanita negara itu kami serahkan kepada Bob Yusof untuk mengetuai segmen tersebut. Inilah kombinasi terbaik yang saya maksudkan,” tambah Ahmad Muriz lagi.

Sementara itu, penyanyi veteran Datuk Hail Amir turut meluahkan rasa teruja menggalas amanah menyampaikan lagu raya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee selain dendangan dengan rakan duetnya, Uji Rashid.

“Lagu raya popular saya adalah Seloka Hari Raya bersama Uji Rashid tetapi sebenarnya saya ada berduet bersama Sharifah Aini membawakan Bisikan Hati Di Pagi Raya.

“Secara peribadi lagu itu cukup syahdu dan mengusik jiwa bagi saya apabila disampaikan semula kerana penyanyi asalnya kini sudah tiada,” katanya.

Selain itu, Sanisah Huri bakal tampil dengan lagu rayanya berjudul Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri, manakala Ziana Zain pula menyanyikan lagu Di Hari Raya serta Hari Mulia.

Tiket konsert dijual pada harga RM218, RM268, RM318, RM368 dan RM600/RM650 (Meet & Greet) menerusi talian 03-23317007, e-mel [email protected] atau laman web @malaysianphilharmonicorchestra. KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok