Lagu Raya Les Sekinchan hapus kerinduan dua dekad

BAGI mereka yang membesar dengan filem-filem zaman awal 2000, pasti mengenali kumpulan Les Sekinchan yang pernah muncul dalam filem popular Gila-Gila Pengantin Remaja arahan Aziz M. Osman (2004).

Mencipta populariti pada zaman tersebut dengan meluncurkan album sulung berjudul Kugiran Paling Best Dalam Dunia, Les Sekinchan yang dianggotai Opie Zami (vokal), Kombat (gitar), Olley (bass) dan Aji (dram) diterima baik oleh peminat yang menyukai idea kreatif mereka.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kehangatan populariti yang ditempa, Les Sekinchan tiba-tiba menyepikan diri sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia mereka.

Selepas dua dekad berehat, kumpulan itu yang masih kekal dengan ahli asal tampil menghadiahkan buah tangan istimewa khas buat peminat yang sudah lama merindukan kemunculan semula mereka dalam industri.

Lebih manis, kemunculan semula mereka jatuh pada ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan akan datang, meraikan kedatangan Syawal yang mulia.

Oleh itu, Les Sekinchan menghadiahkan sebuah dendangan untuk sambutan Syawal yang diberi judul Lagu Raya yang secara rasminya dilancarkan pada 31 Mac lalu bertempat di Mega Bazar Ramadan Raya Jiwa Merah Biru, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor.

“Kami amat terharu dengan sokongan diberikan peminat. Sudah tentu ramai peminat amat merindui kemunculan kami. Inilah peluang terbaik untuk mereka bertemu kami selepas sekian lama.

“Ini sebagai permulaan untuk kami aktif semula dalam nyanyian. Lebih istimewa, kami juga akan melancarkan album baharu pada Jun depan,” kata Les Sekinchan.

Tawaran menarik

Sementara itu, bagi menjelaskan tentang penganjuran Mega Bazar Ramadan Raya Jiwa Merah Biru yang merupakan anjuran Yayasan JDT, pelbagai aktiviti menarik antaranya program tanggungjawab sosial korporat (CSR), bank makanan (food bank), jualan amal dan bufet Ramadan menanti pengunjung.

Menurut jurucakapnya, Azrinrizal Abu Baharim, sebanyak 500 tempat disediakan untuk sesi bufet yang dianjurkan bersama Restoran Star Hadramout Johor Bahru berkonsep hidangan menu nasi Arab.

“Bufet berlangsung sepanjang Ramadan sehingga malam raya kelak. Baru-baru ini juga kami ada menganjurkan Majlis Iftar Yayasan JDT menjemput anak-anak yatim, golongan korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” ujarnya.

Di tempat masa, penganjuran bazar tersebut diteruskan dengan jadual persembahan daripada beberapa barisan artis tempatan antaranya Dr. Sam dan Asfan pada 7 April, Datuk Nash (12 April), Ali XPDC (15 April) dan Ijam Medicine (16 April).

“Persembahan artis akan bermula selepas solat sunat tarawih setiap malam. Selain persembahan artis popular, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai keperluan raya di bazar tanpa dikenakan sebarang caj kemasukan,” kata Azrinrizal.

Selain membeli-belah, pengunjung juga boleh melakukan amal jariah pada bulan Ramadan ini dengan berpeluang menyertai sumbangan bakul makanan selain tawaran cabutan bertuah menerusi pelbagai hadiah menarik.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Mega Bazar Ramadan Raya Jiwa Merah Biru boleh hubungi menerusi kiriman WhatsApp di talian 014-8024668. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok