Kurang sambutan, Rief Daniel tidak pernah mengalah

SEDIKIT pun tidak pernah ada sekelumit lintasan putus asa dalam jiwa pendatang baharu yang memperkenalkan dirinya sebagai Rief Daniel.

Berpegang prinsip, perlu sentiasa bersemangat kental mendepani dunia seni, Rief juga mempersiapkan diri dalam menghadapi sebarang kemungkinan dalam persaingan dunia seni.

Strategi bakat muda itu disertakan sekali dengan buah tangan terbaharu berjudul Takkan Mudah yang menjadi single keempatnya sejak memulakan langkah dalam bidang muzik beberapa tahun lalu.

Karya ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King tersebut sudah dilancarkan secaara rasmi sejak 13 Januari lalu di bawah terbitan Universal Music Malaysia.

Sama seperti judulnya, Takkan Mudah disifatkan penyanyi berusia 26 tahun itu karya yang cukup istimewa, sementelah karya tersebut dicipta khas untuk dirinya.

“Saya beritahu kepada Mas Dewangga dan pasukannya yang saya mahukan sebuah lagu ‘power ballad’ berbeza daripada karya lain.

“Dia menunjukkan beberapa buah lagu yang dihasilkan, tetapi hanya ada sebuah karya berjaya menarik perhatian saya iaitu Takkan Mudah,” katanya.

LAGU Takkan Mudah secara tidak langsung menjadi cerminan prinsip Rief Daniel dalam meneruskan impian dalam industri muzik.

Cabaran jadi mudah

Cerita Rief atau nama sebenarnya Arief Daniel Zayadi, Takkan Mudah memiliki ‘vibe’ tersendiri biarpun banyak cabaran dan liku perlu dilalui sepanjang proses menghasilkan karya tersebut.

Antaranya, dia berdepan kesukaran mencari tempo dan key yang sesuai mengikut tahap vokalnya.

“Selain itu, ada juga cabaran dari sudut video muzik iaitu agak pening memikirkan pergerakan dan sudut kamera yang baik.

“Sehinggakan untuk satu babak sahaja, kami ambil masa paling sekejap sekitar 30 minit untuk menyiapkan tempat lokasi sebelum proses rakaman bermula. Ada juga sampai ambil masa sehingga dua jam lamanya,” kongsinya.

Bantuan daripada pihak berpengalaman sangat membantu Rif melancarkan proses rakaman memandangkan semua pihak terlibat menyumbangkan idea demi mendapatkan hasil terbaik.

“Bekerjasama dengan semua yang terlibat dalam projek ini sangat mudah sebab mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat menghasilkan lagu ini dengan pasukan yang mempunyai semangat tinggi dan memberikan sepenuh fokus,” katanya teruja.

Mengambil semangat judul lagu tersebut juga, Rief berharap agar Takkan Mudah diterima ramai sekali gus dapat menerima mesej yang cuba disampaikan.

Lagu Takkan Mudah ini tersedia dalam semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Video muziknya pula boleh dinikmati menerusi YouTube Universal Music Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok