Hormati privasi Shila Amzah, keluarga

Semua pihak diminta menghormati ruang peribadi penyanyi, Shila Amzah terutama perkara membabitkan hal dalaman keluarganya.

Perkara tersebut dinyatakan syarikat pengurusannya, Greyscale Australia menerusi kenyataan media yang dikongsikan Shila dalam Instagram miliknya, semalam.

Pengurusnya, Darren Kong berkata, pihaknya menyedari spekulasi berkaitan keluarga pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah itu tetapi tidak dapat memberi ulasan kerana hal peribadi bukan berada di bawah bidang kuasa mereka.

“Memandangkan spekulasi itu tidak berkaitan dengan operasi komersial syarikat, kedudukan kami kekal neutral, kerana itu bukan dalam bidang kuasa kami untuk memberi ulasan.

“Sebagai pengurus Shila dan kenalan lamanya serta keluarga, saya berharap semua orang menghormati ruang peribadi mereka.

“Saya percaya sokongan yang paling membina perlu diberikan dengan memberi masa dan ruang untuk Shila sekeluarga mengharungi cabaran kehidupan.

“Kami di Greyscale Australia akan terus memberi sokongan terbaik kepadanya tanpa jemu selain mendoakan mereka terus kuat berdepan cabaran ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan Shila.

Dalam kenyataan sama, Darren turut menyifatkan Shila seorang ibu yang berhati waja selain mengutamakan kesejahteraan anak tunggalnya, Seth Uwais.

“Shila adalah seorang ibu yang kuat dan mahu menjadi contoh terbaik kepada anak lelakinya, Seth serta memastikan keseimbangan dan kualiti kerja,” katanya lagi.

Darren berkata, kini Shila mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap konsert jelajah dunia yang sudah dirancang sepanjang tahun ini.

“Pihak kami akan sentiasa memberikan sokongan padu dan berharap masalah yang melanda Shila serta keluarganya dapat diselesaikan,” katanya.

Semalam, isteri kepada penyanyi Datuk ND Lala, Datin Fauziah Sarman dipercayai memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan suaminya berkahwin dengan seorang wanita muda yang merupakan rakan sekolah Shila.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok