Hadiah Tulus daripada Adi Priyo, Nabila Razali

BEBERAPA buah lagu nyanyiannya sebelum ini kerap menjadi runut bunyi asli (OST) drama mahupun filem tempatan sehingga menerima sambutan positif daripada peminat.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu berentak pop rock, vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo mempertaruhkan sebuah single baharu berjudul Tulus.

Lebih menarik, karya berkenaan buat pertama kali menggandingkan vokal Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo, 40, dengan penyanyi popular Nabila Razali.

Sekali lagi, lagu nyanyian Adi diberi kepercayaan menjadi OST sebuah drama iaitu Bukan Puteri Lindungan Bulan yang mula bersiaran sejak 21 Mac lalu menerusi slot Samarinda TV3.

Dibarisi bintang handalan seperti Janna Nick, Hisyam Hamid, Amar Baharin dan Niena Baharun, karya arahan Pali Yahya tersebut merupakan adaptasi daripada sebuah novel terlaris pada 2002 oleh Liana Afiera Malik yang berjudul sama.

Teruja dengan pelancaran lagu tersebut, Adi menyifatkan Tulus sebagai hadiah istimewa untuk peminat yang sudah lama menantikan karya terbaharu daripadanya.

“Ini hadiah saya untuk peminat yang sudah sekian lama menantikan lagu terbaharu daripada saya.

“Justeru saya harap peminat dapat menerima lagu ini sama seperti karya-karya yang terdahulu,” ujar Adi yang sangat bersyukur kerana kerjasama pertamanya dengan Nabila Razali berjalan lancar seperti dirancang.

Tulus berkisar sebuah hubungan cinta yang mulai renggang kerana ego sehingga membuatkan masing-masing hanya memendam rasa rindu, sedangkan masih tulus merindui dan mencintai antara satu sama lain.

Lagu tersebut yang merupakan ciptaan sepenuhnya komposer Aiman Sidek menyaksikan kerjasama antara tiga buah syarikat iaitu Nabila Razali Entertainment, Global Keynote dan Alternate Records Sdn. Bhd. serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Lagu Tulus boleh distrim menerusi platform digital bermula 29 Mac lalu, sementara video muzik rasminya pula tersedia dalam saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok