Baju, seluar ‘quitex’ Tomok licin, Shuib antara pembeli

“Sold Out”.

Demikian perkongsian penyanyi, Tomok mengenai jualan baju-T dan seluar denim jenama terkenal yang terkena tumpahan pengilat kuku anaknya ketika mereka sekeluarga mengunjungi sebuah butik, malam semalam.

Kapsyen ringkas yang disertai emoji menangis menunjukkan rasa terharu Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 39, terhadap sokongan ramai hingga barangan tersebut dapat dijual.

Berita gembira itu dikongsikan menerusi Instagram Story, manakala hantaran seterusnya didedikasikan pula kepada pelawak, Shuib Sepahtu dan usahawan, Anas Zahrin.

Daripada gambar empat helai seluar, Tomok menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka bersama dua lagi pengikut laman sosialnya, sekaligus menunjukkan mereka adalah pembeli bagi jeans berkenaan.

Malah daripada hantaran di laman sosialnya, dianggarkan dua baju T serta empat seluar denim dapat dijual dalam tempoh dua jam jualan ‘tragedi cutex’ itu diuar-uarkan kepada umum.

Dalam insiden tersebut, anak perempuannya tertumpahkan pengilat kuku ke atas empat helai seluar yang setiap satu berharga RM1,299 manakala baju berharga RM899 dan RM499.

Begitupun dia hanya menjual dua baju sahaja kerana mahu menyimpan dua baju lagi untuk anak-anaknya apabila mereka besar nanti.

“Saya simpan dua baju ini untuk kenangan. Bila Arrian dan Andra besar sikit, bolehlah mereka pakai,” katanya.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu ramai rakan dan pengikutnya di Instagram menghantar mesej langsung menyatakan hasrat untuk membeli.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan bersyukur kerana empat helai seluar dan dua baju itu sudah habis dijual,” ulasnya lagi.

Sebelum itu menerusi hantaran video kedua, dia meletakkan secara terperinci butiran harga iaitu RM800 untuk setiap seluar dan baju pula RM300 dan RM250.

Terdahulu, penyanyi Berlari itu mendedahkan perlu membawa pulang kesemua barangan yang terkena ‘cutex’ dan membayar sebanyak RM5,593 iaitu harga selepas diberikan diskaun susulan kejadian tersebut.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok