Ada individu ‘panas’ Adira rapat dengan Datin Red

Penyanyi Adira Suhaimi mendedahkan hubungan akrab dengan madunya, Datin Sharifah Norshafila Hassim mula terjalin selepas menziarahi wanita itu yang kehilangan ibu tercinta pada 27 Mei tahun lalu.

Katanya, ketika itu dia nekad memandu ke kampung isteri pertama suaminya untuk berada di sisi wanita tersebut tanpa berfikir panjang.

“Sebaik mendengar berita sedih itu saya terus hubungi kakak (madu) bagi menyampaikan salam takziah dan meminta kebenarannya untuk datang menziarah.

“Saya ke rumah keluarga kakak di Kuala Selangor dengan ditemani anak sulung, Anggrek selepas memaklumkan suami yang sudah berada di sana.

“Dari situ hubungan kami mula erat yang berlangsung sehingga sekarang. Sebelum itu kami bukan gaduh, cuma tak rapat seperti hari ini.

“Mungkin orang sangka dulu kami tak boleh bertembung, tetapi hakikatnya kami hanya menjalani kehidupan masing-masing. Itu saja. Jarak kediaman kami pun bukan jauh, dalam satu kilometer,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa dengan penghuni Rumah Bakti Nurshaheera Cheras di Kay’s Steak & Lobster Ampang, baru-baru ini.

Begitupun, pada masa sama Adira, 31, yang bergelar isteri kedua kepada Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red enggan terlampau menonjolkan gambar bersama madunya dalam media sosial.

Akuinya, tindakan tersebut diambil mengelakkan perasaan iri hati segelintir pihak luar yang sudah mula kepanasan melihat dia dan Sharifah Norshafila boleh bergandingan.

“Bukan tak seronok kongsi setiap momen berharga kami, cuma kena beringat tak semua orang suka kerana ada juga individu tak dikenali mesej saya dengan kata-kata negatif.

“Harapan saya semoga kami sekeluarga dijauhkan daripada hasad dengki. Mujur kakak pun faham. Sekarang kalau keluar berdua saya jarang masukkan dalam media sosial.

“Biar kami saja yang tahu. Apa pun saya bersyukur berkat doa serta kesabaran selama lapan tahun kakak menerima saya dengan hati terbuka. Beliau sememangnya wanita hebat,” luahnya lagi mengenai wanita yang dikenali sebagai Datin Red itu.

Sementara itu, mengenai majlis berbuka puasa dihadiri Adira baru-baru ini, dia berasa bertuah dapat menyantuni 26 anak yatim menikmati juadah istimewa berupa udang kara dan tomahawk selaku hidangan bertaraf bintang di restoran berkenaan.

Katanya, dia berbesar hati dapat meluangkan masa dan berpeluang memberi layanan VIP kepada penghuni rumah kebajikan tersebut yang rata-rata hampir sebaya dengan anak-anaknya.

“Apabila Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster, Aizuddin mengundang saya meraikan anak-anak ini, saya tidak berfikir panjang menyambut pelawaan kerana mahu menggembirakan mereka,” katanya.

Terdahulu, Adira bernikah dengan Datuk Red pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand dan kini dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayub, tujuh bulan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok