BAGI memartabatkan seni warisan tekstil negara, selebriti Bkay Nair tampil menggabungkan elemen menarik dalam pakaian tradisional masyarakat majmuk di negara.
Bkay bakal memperkenalkan pakaian tradisional kaum India iaitu sari yang dihasilkan daripada tekstil batik sempena pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024) yang bakal diadakan pada 23 November ini.
“Ini kelainan yang kami bawakan pada tahun ini yang dijadualkan pada 23 November depan, di mana antara yang menjadi fokus utama adalah 6 Yards of Beuaty di mana pakaian sari dari tekstil batik iaitu antara warisan dan identiti negara kita.
Lebih menarik saya dalam usaha mendapatkan hasil tangan batik daripada banduan di penjara negara ini sebagai sokongan dan tarikan pada kali ini memandangkan mereka turut mengasilkan batik yang sangat tinggi nilai seninya,” katanya kepada HibGlam semasa sidang akhbar baru-baru ini.
Tambahnya, pemilihan batik pada pertunjukan anjuran Bkay Nair Resources dengan sokongan Persatuan Pembangunan Pernigaan Fesyen Malaysia (PPPFM) kali ini, menampilkan batik sebagai tekstil yang mampu menghasilkan pelbagai jenis dan potongan fesyen mengikut kreativiti pereka.
Malah, bintang filem Ratu The Movie itu turut memaklumkan usaha memperkenalkan batik ke pentas lebih komersial ini mampu menjana pendapatan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan.
“MHS2024 juga bakal mengiktiraf dan menyediakan Anugerah Pereka Terbaik yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu dalam menghargai usaha pereka terbabit mengangkat warisan tekstil tempatan.
Kami turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam penganjuran kali ini yang mendapat penyertaan daripada pereka tempatan.
“Selain sari, pereka juga bakal menampilkan pelbagai rekaan menggunakan tekstil batik seperti baju dan gaun yang boleh digayakan dalam majlis khas mahupun untuk tujuan komersial dalam meraikan tradisi tempatan,” ujarnya.
Selaku presiden PPPFM, Bkay bersyukur persatuan peniaga fesyen dinegara ini berjaya ditubuhkan sekali gus memberikan amanah kepada dirinya untuk mengetuainya.
Saya menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan industri fesyen di negara ini terus berkembang.
“Pelbagai agenda juga sudah diatur termasuk bengkel dan sesi perbincangan bagi mengeratkan hubungan sesama pemain industri dalam bidang berkaitan serta mencari peluang menjalinkan usaha sama,” jelasnya lagi. – HIBGLAM