Kepulauan Borneo khususnya di Sabah dan Sarawak memiliki keunikan istimewa kerana menyimpan khazanah-khazanah alam yang menakjubkan daripada segi geografinya.
Antara khazanah alam paling berharga tentu sekali gua-guanya.
Bagi pencinta gua, mereka pastinya sudah merasai pengalaman berbeza meneroka gua-gua di pelbagai lokasi di sana. Bukan semua orang ada kesanggupan bergadai masa dan keselamatan untuk aktiviti yang perlukan kelasakan tinggi itu.
Perlu lalui cabaran berisiko menyusuri kegelapan, laluan berbahaya, dan keletihan, namun itu semua terbayar tatkala melihat sendiri depan mata betapa ajaibnya setiap gua.
Ratu Cantik dan pengacara, Vivienna Alfred, 27, menyahut cabaran merasai pengalaman itu sendiri menerusi rancangan Caves & Caverns di stesen TVS, saluran 122 di MYTV, Unifi TV dan Astro yang mula bersiaran 4 September, setiap Jumaat, pukul 8.45 malam.
Sebagai gadis bandar, dia bertuah dipilih mengacarakan rancangan itu kerana dia sememangnya seorang yang gemar aktiviti lasak. Justeru, keterujaannya lebih berganda kerana pengalaman itu pertama kali buatnya.
“Tak kira macamana orang kenal saya sebagai ratu cantik, model, dan pengacara, saya tak pernah lagi jayakan rancangan sebegini. Personaliti saya sebenarnya seorang yang sangat lasak. Idea dimahukan produksinya adalah untuk jadikan saya pesona dalam rancangan itu.
“Ia bermula selepas saya beritahu pernah lakukan ‘skydiving’ di Dubai dan ‘bungee jumping’ di Afrika Selatan. Mereka tahu saya gemar dan berseronok dengan aktiviti begitu namun bagaimana jika mereka ‘campak’ saya dalam hutan pula?” katanya.
Anak jati Kuching, Sarawak itu berkongsi paling tidak boleh dilupakannya adalah pengalaman berdepan kejadian mistik sewaktu melawat sebuah gua di Sabah.
Menurutnya, dari situ dia belajar terdapat pantang larang harus dipatuhi untuk masuk gua.
“Sejak dulu lagi, ada upacara tertentu yang perlu dijalani untuk masuk gua dan semua itu dilakukan ketua kampung di sana terlebih dulu. Dia kemudian memberi amaran supaya kami tidak menegur jika dengar atau lihat apa-apa yang aneh di dalam.
“Sewaktu memasukinya, saya adalah antara yang berada di barisan paling hujung. Apabila sudah bergerak ke dalam, tiba-tiba saya dengar bunyi gamelan. Mulanya, saya ingatkan ada orang buka video TikTok tapi tiada siapa bermain telefon bimbit ketika itu.
“Saya diamkan saja kerana teringat pesanan ketua kampung itu kerana saya pun bukan jenis penakut. Saya cuma membuka mulut sewaktu makan malam pada hari itu. Rupanya seorang jurukamera kami pun ada terdengar bunyi sama.
“Bagaimanapun, saya optimis saja anggap mainan gamelan itu mungkin untuk mengalu-alukan kedatangan kami. Syukur tiada kejadian ekstrim berlaku seperti rasukan atau lain-lain,” katanya.
Penerbitnya, Sherry Sidek dari rumah produksi Above The Line pula berkata, Caves & Caverns membawa misi yang cukup luas. Bukan sekadar menonjolkan pengalaman aksi lasak, keindahan gua, namun untuk memecahkan stigma masyarakat juga.
Menurutnya, banyak cabaran ditempuhi kru produksi untuk menjayakan rancangan itu namun semangat ditonjolkan mereka sangat tinggi. Dia percaya pengembaraan mereka itu mampu mencetus inspirasi kepada ramai.
“Rancangan ini bertujuan mengubah takrifan stereotaip tradisional dengan mempamerkan wanita juga lasak serta memiliki kekuatan luar biasa. Kami fokus kepada keazaman dan kesungguhan tinggi wanita bergadai usaha demi menggapai impian mahupun misi hidup.
“Cabaran jayakan Caves & Caverns sangat besar. Paling penting adalah mengumpul pasukan tepat kerana menuntut stamina tinggi, tempoh penggambaran panjang, dan keberanian. Lokasi penggambaran pun bukan calang-calang. Laluan gua sempit, licin, dan macam-macam situasi lagi.
“Visi kami adalah dapat melunaskan hajat untuk gambarkan keunikan setiap gua serta pengembaraannya dalam bentuk filem. Kami percaya Caves & Caverns berpotensi menjadi rujukan berguna untuk penonton menerusi visual memukau dan kisah penuh inspirasi,” katanya.
Sherry turut menjelaskan Borneo dipilih untuk rancangan itu kerana tidak lain keindahan khazanah alamnya setanding tempat lain. Namun begitu, dia tidak menolak terbuka untuk meneroka lokasi lain di Malaysia mahupun negara serantau pula pada masa hadapan.
“Memperluas rancangan ini dengan meneroka Semenanjung Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara bukan saja dapat memartabat khazanah alam kita dan negara serantau. Malah, tawarkan penonton perspektif lebih luas terhadap keindahan dan signifikan landskap yang memukau,” katanya.
Bersiaran sebanyak 13 episod, penonton dibawa meneroka keindahan Gua Sireh, Gua Silabur, Gua Angin, Gua Buddha, Gua Pari-Pari Ajaib, Gua Posih, Gua Niah, dan Gua Mulu di Sarawak.
Manakala di Sabah adalah Gua Madai, Gua Terpadung, Agob Batu Tulug, Gua Gomantong, an Makam Penyu. – HIBGLAM