Bintang kuasai pentas KLFW

BAHANG kemeriahan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) yang berlangsung minggu lalu masih terasa sehingga ke hari ini.

Acara yang berlangsung selama tujuh hari itu membariskan pereka fesyen tempatan yang mempersembahkan koleksi terbaru mereka.

Ramai juga pereka fesyen yang mengundang beberapa selebriti popular bukan sahaja untuk duduk di barisan hadapan, tetapi berjalan di pentas KLFW sebagai ‘muse’.

HibGlam senaraikan selebriti popular tanah air yang beraksi di pentas KLFW tahun ini.

Ummi Nazeera

Terkenal sebagai ikon fesyen berhijab tanah air, Ummi Nazeera sering dilihat menghadiri banyak pertunjukan fesyen. Tahun ini buat pertama kalinya Ummi diundang sebagai ‘muse’ untuk pereka fesyen, Fizi Woo. Ummi tampil memukau memperagakan gaun putih di atas pentas KLFW. Turut sama berjalan dengan Ummi adalah abangnya iaitu pempengaruh, Nazreem Musa.

Nazim Othman

Aktor kacak bertubuh tinggi lampai ini sering menjadi pilihan pereka fesyen tempatan untuk berjalan dalam pertunjukan fesyen mereka. Tahun ini Nazim dilihat ‘catwalk’ untuk Fizi Woo dan ABU. Kemunculannya di atas pentas peragaan mencuri perhatian ramai tetamu bahkan rata-rata memuji karismanya.

Amerul Affendi

 

Pelakon berbakat besar ini menjadi pilihan Taguwaruwa memperagakan koleksi terkini mereka dalam pertunjukan fesyen  sempena ulang tahun ke-10 penubuhan jenama itu. Tenang mengatur langkah, Amerul berjaya melunaskan tugasan itu dengan baik meski bukan model profesional.

Thanuja Ananthan

Sering menjadi pilihan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, tahun ini sekali lagi pelakon dan hos jelita, Thanuja Ananthan dipilih untuk berjalan dalam pertunjukan fesyen pereka duo itu sempena penutup KLFW.

Penyampai Radio Era

Jenama ‘streetwear’ Super Sunday menampilkan kelainan apabila memilih barisan penyampai radio Era sebagai model untuk pertunjukan fesyen mereka. Antara yang dilihat berjalan penuh bergaya di pentas KLFW ialah Nabil Ahmad, Hawa Rizwana, Radin, Ray, Muna Bella dan Fazziq Muqris.

Ali Reza

 

Berwajah tampan dan bertubuh tinggi lampai, tidak hairanlah kenapa pelakon Ali Reza dipilih untuk berjalan dalam pertunjukan fesyen sempena KLFW. Ali memperagakan koleksi  fesyen jenama ABU bersama beberapa lagi selebriti lain.

Datuk Seri Vida

Kehadiran figura popular ini sering menjadi perhatian ramai tatkala hadir ke acara mega KLFW. Pernah menjadi ‘muse’ untuk jenama Behati beberapa tahun lalu, tahun ini Datuk Seri Vida sekali lagi dipilih sebagai ‘muse’ jenama yang sama. Ibu kepada dua cahamata ini memperagakan busana istimewa yang melambangkan solidariti terhadap Palestin.

Rizal Rasid

 

Penyanyi asal Brunei yang kini mengembangkan karier di Malaysia menjadi pilihan pereka fesyen Masyadi Mansoor untuk pertunjukan kali ini. Segak memperagakan koleksi sentuhan Masyadi Mansoor, kemunculan Rizal mencuri perhatian ramai.

Alicia Amin

Pelakon dan peragawati yang selesa dengan potongan rambut pendek ini mejadi pilihan pereka fesyen Kit Woo untuk berjalan dalam pertunjukan fesyennya.

Nia Atasha

Sama seperti Alicia, Nia juga merupakan pelakon dan peragawati. Tahun ini dia komited memperagakan busana rekaan terkini Masyadi Mansoor yang sering menjadikannya sebagai ‘muse’. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok