Yuna jadi buruan pereka fesyen tempatan

SEJAK mengumumkan mahu menetap di Malaysia, nama penyanyi dan komposer antarabangsa, Yuna kembali menjadi bualan ramai.

Bahkan, baru sahaja menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 38, telah disambar stesen televisyen Astro Ria sebagai juri untuk program hiburan Gimme The Mic Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, pereka fesyen tanah air juga dikhabarkan berebut-rebut mahu menjadikannya ‘muse’ mereka sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) yang kini sedang rancak berlangsung.

“Bila mereka tahu kepulangan saya, ramai pereka fesyen menghubungi saya untuk jadikan ‘muse’.

Tetapi saya tak dapat terima kerana saya sudah pun dilamar Abu Shaef Hamza terlebih dahulu. Nasib baik Abu cepat.

“Abu merupakan penata gaya saya di sini. Sudah lima tahun kami bekerjasama,” katanya sewaktu ditemui di sesi penggambaran kempen Abu sempena KLFW baru-baru ini.

YUNA ketika sesi fotografi kempen koleksi terbaharu Abu sempena KLFW.

Ditanya apa yang membuatkan dia setuju untuk menjadi wajah kepada jenama yang baharu dua tahun berada di pasaran, kata Yuna dia sukakan sentuhan Abu.

Saya lihat koleksi pertama dia tahun lalu sangat mengagumkan. Saya menghormati etika kerja dia dari dulu lagi.

“Jadi tiada keraguan dari segi rekaan. Kalau buat koleksi baharu, dia akan buat betul-betul dan cantik. Dia guna material yang bagus serta tukang jahit yang mahir.

Saya sangat teruja dengan koleksi ini dan gembira dapat membantu Abu dengan menjadi wajah untuk koleksi KLFW tahun ini,” ujarnya yang mahu memperkasakan pereka fesyen tempatan.

Sementara itu bagi Abu pula, dia terharu dan berterima kasih kepada Yuna kerana sudi menerima pelawaan menjadi wajah kempen koleksi terbarunya.

“Bila saya tanya Yuna sudi tak jadi ‘muse’ saya, pastas dia jawab ‘talk less Abu, let’s do it‘.

Ini adalah satu penghargaan yang amat besar buat saya. Yuna adalah seorang penyanyi dan ikon fesyen bertaraf antarabangsa.

“Kesudian dia bekerjasama dengan pereka tempatan dan baharu seperti saya buat saya rasa sungguh terharu,” katanya.

Kongsi Abu lagi Yuna adalah cerminan kepada koleksi terbarunya yang penuh gaya, energetik serta lain daripada lain.

Koleksi terbaru Abu akan dipentaskan di KLFW pada 3 Ogos ini jam 7 malam di pekarangan Menara Berkembar Petronas KLCC. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok