[VIDEO] Rekaan klasik Rizman Ruzaini buat atlet Malaysia tuai pujian

BAGAIKAN pahlawan Malaya, itu yang dapat disimpulkan tentang pakaian rasmi kontinjen Malaysia sempena perasmian pembukaan sukan Olimpik Paris 2024 rekaan pereka fesyen duo tersohor, Rizman Ruzaini.

Pakaian tersebut telah diperkenalkan secara rasmi menerusi hantaran dalam akaun media sosial Persatuan Olimpik Malaysia dan juga Rizman Ruzaini.

Menurut Persatuan Olimpik Malaysia, Rizman Ruzaini telah dijemput menyertai Malam Olimpik 2024 yang berlangsung di ibu kota pada Januari lalu yang mana pereka fesyen tempatan diberikan peluang untuk mempersembahkan visi idea mereka tentang pakaian yang akan digayakan  atlet Malaysia di pembukaan sukan Olimpik Paris 2024.

Mengetengahkan rekaan klasik, sentuhan Rizman Ruzaini diinpirasikan daripada semangat pahlawan negara.

Mengangkat tema ‘The Malaya’, Rizman berkata, rekaan itu diinspirasikan daripada pahlawan tanah air seperti Datuk Maharajalela, Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Yamtuan Antah dan Tunku Abdul Rahman.

Baju Melayu Teluk Belanga dipilih  untuk digayakan atlet lelaki sebagai tanda junjungan kasih kami kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.

“Atlet wanita pula akan memakai baju kurung yang dilengkapi kain kerudung sebagai lambang kesopanan wanita Melayu.

Kami memilih warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi satu aura klasik dan di bawah pantulan cahaya akan memancarkan efek keemasan simbolik harapan atlet kita membawa pulang pingat emas,” katanya.

MOTIF cetakan songket yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia zaman-berzaman.

Jelas Ruzaini pula lagi, motif cetakan songket dipilih sebagai corak dalam setiap helaian kerana nilai estetika fabrik itu yang merupakan peninggalan warisan zaman berzaman.

“Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun temurun.

“Kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket melambangkan pangkat dan kedudukan golongan bangsawan,” jelasnya.

Tidak melupakan atlet yang berhijab, Rizman Ruzaini menyediakan tudung yang dicetak dengan tarikh Hari Kemerdekaan serta Hari Kebangsaan yang membawa simbolik semangat patriotik.

BUSANA tradisional Melayu klasik berona hijau zaitun yang diinspirasikan daripada pahlawan Melayu terbilang.

Rekaan pakaian rasmi itu telah menuai pujian daripada netizen yang rata-ratanya terpegun melihat busana indah yang bakal diperagakan oleh barisan atlet Malaysia kelak.

“Kualiti dan rekaan sangat menonjol. Tahniah Rizman Ruzaini. Rekaan ini sangat cantik dan melambangkan identiti Malaysia,” tulis seorang netizen.

Malah sudah ada netizen yang ingin menjadikan pakaian rasmi atlet Malaysia ini sebagai rujukan baju raya mereka untuk tahun hadapan.

Pada 4 Julai lalu HibGlam melaporkan kontinjen Malaysia bakal memakai busana tradisional rekaan Rizman Ruzaini menjelang upacara perasmian pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine, Paris. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok