10 pakaian rasmi atlet Olimpik Paris 2024 paling menonjol

KELMARIN seluruh dunia telah menyaksikan majlis perasmian pembukaan temasya sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung di Sungai Seine.

Sebanyak 206 buah negara terlibat dalam edisi kali ini termasuklah Malaysia.

Sejak beberapa minggu lalu, tular dalam media sosial gambar-gambar pakaian rasmi atlet Olimpik dari seluruh dunia yang telah didedahkan lebih awal kepada umum.

HibGlam senaraikan 10 pakaian rasmi atlet Olimpik Paris 2024 yang berjaya mencuri tumpuan dunia.

Mongolia

Sejak negara ini memperkenalkan pakaian rasmi yang akan dipakai di perasmian pembukaan Olimpik Paris 2024, ramai memuji dan terpegun melihat pakaian yang bertemakan tradisi masyarakat Mongolia. Setiap perincian penuh berseni. Pakaian pasukan Mongolia ini telah direka oleh Michel dan Amazonka.

Korea Selatan

Kontinjen Korea Selatan tampil dengan sesuatu yang berbeza kali ini apabila memilih sut berwarna biru yang dilengkapi tali pinggang rekaan Musinsa Standard sebagai pakaian rasmi.

Haiti

Antara pakaian rasmi paling bergaya. Baju rasmi kontinjen Haiti telah direka oleh pereka fesyen berdarah campuran Haiti dan Itali iaitu Stella Jean. Menariknya pakaian seragam ini telah direka menggunakan bahan lebihan atau buangan dan dibikin secara sukarela.

Taiwan

Penuh bergaya dan ranggi! Itulah yang boleh dikatakan tentang pakaian rasmi kontinjen Taiwan yang memilih sut potongan slim dan moden dari jenama Just In XX. Ibarat melihat kempen jenama fesyen terkenal.

Malaysia

Segak berbaju Melayu Teluk Belanga dan Baju Kurung lengkap kerudung laksana pahlawan dan serikandi negara.

Baju tradisional yang diberi nama ‘The Malaya’ rekaan Rizman Ruzaini membaluti tubuh kontinjen Malaysia untuk Olimpik Paris 2024 kali ini.

Indonesia

Jika edisi sebelumya negara jiran, Indonesia mengangkat tema Bali dalam pakaian rasmi mereka, tahun ini etnik Jawa diberikan penghormatan sebagai tunjang utama.

Kesederhanaan dan tradisional menjadi kunci utama rekaan pereka fesyen Didit Hediprasetyo buat atlet Indonesia.

Amerika Syarikat

Berpuluh tahun rumah fesyen terkenal Ralph Lauren diberi tugasan mereka pakaian rasmi kontinjen Amerika Syarikat. Tahun ini kesemua atlet negara Uncle Sam itu tampil semi formal dalam rekaan sut yang dipadankan dengan celana denim.

Palestin

Antara negara yang paling menjadi tumpuan sempena perarakan pembukaan Olimpik kali ini. Biarpun negara ini masih berduka dengan penindasan dasyat oleh rejim zionis, namun darah pejuang dalam diri setiap atlet Palestin tetap membawa mereka ke bumi Paris.

Atlet lelaki segak memakai kemeja putih dengan cetakan corak keffiyeh manakala atlet wanita pula memakai jubah tradisional Palestin berwarna merah, hijau dan hitam.

Republik Czech

Pakaian rasmi kontinjen dari negara Eropah ini antara yang menarik perhatian ramai kerana rekaannya kelihatan seperti jubah mandi yang terkena dakwat biru. Pakaian buat atlet Republik Czech ini telah direka oleh jenama pakaian sukan, Alpine Pro.

Filipina

Memilih pakaian tradisional Barong, pereka fesyen untuk pakaian rasmi kontinjen Filipina iaitu Francis Libiran menyuntik semangat patriotik dengan menambah aksesori tambahan di bahagian lengan yang bertemakan bendera Filipina. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok