KIRA-KIRA seminggu sahaja lagi Ramadan bakal menjelang. Pasti ramai umat Islam seluruh dunia tertunggu-tunggu tibanya bulan mulia ini kerana inilah masanya untuk menunaikan rukun Islam ketiga yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda.
Selain menahan lapar, dahaga dan nafsu, mungkin ada yang mengalami satu lagi cabaran tambahan disebabkan masalah kesihatan seperti gastrik.
Umumnya, individu yang menghidap gastrik dan penyakit ulser peptik (PUD) akan mempunyai pelbagai persoalan mengenai keadaan kesihatan dan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan.
Pengalaman dan kajian perubatan menunjukkan bahawa puasa boleh membawa kepada komplikasi yang tidak diingini kerana paras asid meningkat semasa perut kosong.
Oleh itu, keseimbangan antara kewajipan agama dan kesihatan adalah sangat penting dalam kes ini. Berikut perkongsian RELEVAN lima tip berpuasa bagi individu yang mempunyai masalah gastrik bagi mengurangkan komplikasi sepanjang Ramadan.
- Elak makanan penyebab gastrik
Puasa atau perut kosong berpotensi meningkatkan tahap keasidan gastrik. Justeru, anda perlu mengubah tabiat pemakanan makanan dan mengambil nutrien penting yang mencukupi untuk badan.
Elakkan mengambil makanan penyebab gastrik seperti makanan yang diproses, berlemak, digoreng, pedas, masam, masin, berkafein dan mengandungi asid.
Ini kerana makanan jenis ini cenderung merengsakan saluran penghadaman. Sekiranya teringin makan makanan ini, ambil dalam kuantiti sederhana.
Cuba kurangkan pengambilan gula kerana gula akan bertukar menjadi lemak. Peningkatan kandungan lemak dalam badan boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan tahap kolesterol. Ia juga boleh melambatkan penghadaman dan mencetus refluks asid.
- Makan perlahan-lahan dan berhati-hati
Kunyah perlahan-lahan supaya jus gastrik yang berfungsi untuk mencerna makanan tidak digunakan sepenuhnya. Ini akan memudahkan perut mencerna makanan dan memastikan anda mengambil makanan dalam kuantiti yang tidak keterlaluan.
Jangan lupa bahawa perut anda mengambil masa 20 minit untuk memberitahu otak bahawa anda sudah kenyang. Makan dengan cepat juga cenderung menyebabkan anda menelan banyak udara yang menyebabkan kembung perut.
Selain itu, ambil makanan dalam kuantiti sederhana terlebih dahulu. Ia merupakan idea yang baik untuk mengehadkan pengambilan makanan terutamanya semasa berbuka puasa. Faham anda sudah menahan lapar sepanjang hari, tetapi jangan gunakan puasa sebagai alasan untuk makan terlalu banyak.
Lebih afdal, berbukalah dengan kurma atau makanan ringan terlebih dahulu. Selepas menunaikan solat maghrib, baharulah makan makanan berat seperti nasi dan sebagainya.
- Bersahur
Badan kita memerlukan makanan untuk memberi tenaga sepanjang hari. Jadi, rajin-rajinlah untuk bangun sahur. Tetapi kalau tidak ada selera, sekurang-kurangnya makanlah kurma dan minum susu atau air. Kurma kaya dengan antioksidan, serat dan berkesan mencegah ulser gastrik.
Perkara ini mungkin agak sukar untuk dielakkan tetapi cuba sedaya upaya untuk tidak tidur selepas sahur. Hal ini kerana tidur selepas sahur akan menyebabkan senak dan pedih ulu hati. Berbaring pula akan menyebabkan asid perut memasuki esofagus dan mencetus refluks asid.
- Minum air secukupnya
Bulan Ramadan bukan alasan untuk anda tidak minum air secukupnya. Pastikan anda minum air lapan gelas sehari. Banyakkan minum air semasa sahur dan berbuka.
- Teruskan mengambil ubat (jika ada)
Bagi mereka yang mempunyai preskripsi doktor untuk mengambil ubat dalam jangka masa panjang, bincangkan perkara ini dengan doktor masing-masing.
Teruskan mengambil ubat tanpa preskripsi seperti antasid, antihistamine atau ubat lain semasa sahur jika perlu. Ini boleh mengurangkan pengeluaran asid perut, mencegah kembung perut, gastrik dan pedih ulu hati.
Sekiranya ketika berpuasa anda mengalami rasa sakit dan tidak mampu untuk tahan, anda perlu berbuka dan makan ubat yang diperlukan. Jangan memaksa diri sehingga memudaratkan.
Menunaikan ibadah berpuasa itu wajib tetapi menjaga kesihatan juga satu kewajipan. Pastikan untuk ganti semula puasa yang tertinggal selepas 1 Syawal nanti. – HIBGLAM