Mahu kurus, kulit cantik? Jom amalkan 5 makanan kaya probiotik

PROBIOTIK ialah bakteria hidup dan yis yang baik untuk badan, terutamanya untuk sistem penghadaman. Badan kita sebenarnya penuh dengan bakteria baik dan jahat. Probiotik sering digelar sebagai bakteria baik kerana ia membantu menjaga usus kita.

Selain menjaga kesihatan usus, probiotik juga mempunyai faedah lain seperti mengurangkan kemurungan, mengekalkan kesihatan jantung dan meningkatkan imuniti. Sesetengah kajian juga menyatakan bahawa probiotik mungkin boleh membuatkan kulit muka kelihatan lebih cantik.

Mengambil probiotik dalam bentuk makanan tambahan adalah satu cara popular untuk meningkatkan jumlah bakteria baik dalam badan. Tetapi, anda juga boleh mendapatkannya daripada makanan yang disarankan Relevan iaitu:

  1. Yogurt
Yogurt. – GAMBAR ANUSHA A/UNSPLASH

Yogurt adalah salah satu sumber probiotik yang terbaik. Ia diperbuat daripada susu yang ditapai oleh probiotik, terutamanya daripada bakteria asid laktik dan bifidobakteria.

Faedah kesihatan yang dikaitkan dengan makan yogurt termasuk mengurangkan risiko diabetes, mengurangkan risiko kanser payudara dan kolon serta mendorong kepada pengurusan berat badan yang lebih baik.

Selain itu, yogurt mungkin sesuai untuk orang yang mempunyai lactose intolerant. Ini kerana bakteria menukar sebahagian daripada laktosa kepada asid laktik iaitu elemen yang membuatkan yogurt rasa masam.

Tetapi perlu diingat bahawa tidak semua yogurt mengandungi probiotik hidup. Proses penghasilan yogurt itu sendiri kadangkala boleh membunuh bakteria hidup. Atas sebab ini, pastikan anda memilih yogurt dengan bakteria hidup.

  1. Kefir
Kefir

Kefir ialah minuman susu probiotik yang ditapai. Ia dibuat dengan menambah bijirin kefir kepada susu lembu atau kambing. Perkataan “kefir” dipercayai berasal daripada perkataan Turkiye iaitu “keyif”, yang bermaksud berasa baik selepas makan.

Kefir telah dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan. Ia boleh meningkatkan kesihatan tulang, membantu masalah pencernaan dan melindungi daripada jangkitan. Kefir juga boleh menjadi pilihan yang baik untuk orang yang mempunyai lactose intolerant.

Kefir mengandungi beberapa strain utama bakteria baik dan yis, menjadikannya sumber probiotik yang lebih kuat berbanding yogurt.

  1. Tempe
Tempe

Siapa di antara anda yang suka makan tempe? Teruskan tabiat yang baik itu kerana tempe merupakan makanan yang bagus untuk anda yang perlu mengurangkan pengambilan protein daripada ayam dan daging.

Tempe juga dikenali sebagai protein berasaskan tumbuhan. Proses menghasilkan tempe melibatkan penapaian yang menggunakan kacang soya. Penapaian juga menghasilkan beberapa vitamin B12 iaitu nutrien yang pada asalnya tidak terkandung dalam kacang soya.

  1. Kimchi
Kimchi. – GAMBAR PORTUGESE GRAVITY/UNSPLASH

Kimchi ialah hidangan sampingan Korea yang ditapai dan mempunyai rasa pedas-pedas. Kubis biasanya merupakan bahan utama tetapi ia juga boleh dibuat daripada sayur-sayuran lain seperti lobak putih.

Kimchi diperisakan dengan campuran perasa seperti kepingan cili merah kering (chilli flakes), bawang putih, halia, daun bawang dan garam. Ia mengandungi bakteria lactobacillus dan bakteria asid laktik lain yang boleh memberi manfaat kepada kesihatan pencernaan.

Kimchi yang diperbuat daripada kubis kaya dengan beberapa vitamin dan mineral, termasuk vitamin K, riboflavin (vitamin B2), dan zat besi.

  1. Miso
Miso

Miso ialah salah satu elemen perasa dalam masakan Jepun. Ia dibuat secara tradisional dengan menapai kacang soya dengan garam dan kulat yang dipanggil koji.

Miso juga boleh dibuat dengan mencampurkan kacang soya dengan bahan lain seperti barli dan beras. Orang Jepun kerap menggunakan pes ini dalam sup miso iaitu makanan yang kebiasaannya dihidang sebagai sarapan pagi di Jepun.

Miso adalah sumber protein dan serat yang baik. Ia juga tinggi dalam pelbagai vitamin, mineral dan sebatian tumbuhan termasuk vitamin K.

Sesetengah kajian mencadangkan bahawa miso juga boleh mengurangkan risiko kanser, obesiti dan tekanan darah tinggi. Ia juga boleh membantu menormalkan tahap kolesterol anda.

Pertimbangkan untuk mengambil probiotik daripada sumber makanan di atas sebelum mencuba untuk mengambil makanan tambahan atau suplemen yang dijual di pasaran. Selain lebih murah, ia juga dijamin akan memberi kesan positif kepada kesihatan seluruh tubuh badan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok