6 kebaikan air kelapa, jom amalkan

AIR kelapa bukan sahaja menyegarkan dan menghilangkan dahaga tetapi mempunyai banyak manfaat kesihatan sehingga ia cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pelbagai petua disarankan untuk diambil bersama air kelapa bagi mendapatkan manfaat kesihatan maksimum.

Sehubungan itu, Pengamal Perubatan Am, Dr. Zubaidi Ahmad kongsikan manfaat air kelapa.

  1. Sumber Elektrolit

Memetik tulisan Dr. Zubaidi Ahmad dalam laman Facebook miliknya, air kelapa mengandungi banyak elektrolit semula jadi seperti natrium, magnesium, kalsium dan kalium.

Elektrolit adalah mineral penting untuk mengimbangi jumlah air dalam badan, memindahkan toksin ke dalam dan keluar dari sel, menyokong fungsi otot dan saraf serta menstabilkan tekanan darah.

Kadangkala bersenam secara agresif menyebabkan kehilangan banyak cecair dan ketidakseimbangan elektrolit. Sehubungan itu minuman sukan yang mempunyai elektrolit sangat popular.

Tambah beliau lagi, ketidakseimbangan elektrolit juga boleh berlaku apabila jumlah air dalam badan berubah secara drastik seperti selepas muntah atau mengalami cirit-birit.

Air kelapa lebih rendah kandungan gula berbanding kebanyakan minuman sukan dan mengandungi karbohidrat yang boleh membantu meningkatkan tenaga dan fungsi otot.

Penyelidikan mendapati air kelapa lebih bermanfaat daripada air biasa untuk rehidrasi selepas bersenam kerana jumlah elektrolitnya yang tinggi.

  1. Menurunkan tekanan darah

Satu cawan air kelapa mempunyai 400 miligram (mg) potassium. Diet yang kaya dengan potassium dapat mengurangkan tekanan darah dan membantu kesihatan jantung.

  1. Melindungi daripada radikal bebas

Antioksidan dalam air kelapa dapat membantu melawan kerosakan sel dalam badan.

  1. Mencegah batu karang

Air daripada kelapa boleh membantu mencegah batu karang dengan menghalang pembentuk kristal akibat mendakan mineral yang berlebihan.

  1. Tulang dan gigi yang lebih kuat

Gabungan fosfat dan kalsium dalam air kelapa berfungsi bersama untuk membantu membina tulang dan gigi yang kuat.

  1. Menstabilkan gula dalam darah

Magnesium dalam air kelapa dapat membantu mengawal glukosa darah (gula). Air kelapa telah disebut-sebut sebagai minuman sukan yang alami kerana kandungan vitamin C dan potassium yang tinggi. Ia juga rendah kalori dan lemak.

Satu cawan 100% air kelapa mempunyai 44 kalori, lemak (0 gram), sodium (64 miligram), karbohidrat (10.4 gram), gula (9.6 gram), protein (0.5 gram), vitamin c ( 24.3 miligram) dan potassium (404 miligiram).

Bila masa terbaik minum air kelapa?

Air kelapa boleh diminum pada bila-bila masa oleh orang yang sihat. Namun ia terbaik diminum ketika:

  • Selepas bersenam
  • Pada hari yang panas
  • Selepas berada di sauna atau bilik wap
  • Semasa persediaan usus untuk kolonoskopi
  • Jika anda mengalami cirit-birit kronik
  • Selepas jangkitan virus perut
  • Ketika mengalami pedih ulu hati (gastritis)
  • Untuk menambah cecair ketika dehidrasi

Adakah boleh minum setiap hari?

Air kelapa boleh diminum setiap hari bergantung kepada kesihatan dan gaya hidup. Pertimbangkan tahap aktiviti, iklim tempat tinggal dan pengambilan cecair anda daripada sumber lain.

Siapa yang tidak boleh minum air kelapa?

Elakkan pengambilan air kelapa sekiranya ada ada masalah kesihatan berikut:

  • Pesakit kegagalan ginjal yang sedang dirawat secara hemodialisis.
  • Pesakit Ginjal Yang Kronik (CKD).
  •  Pesakit tekanan darah tinggi yang mengambil ubat seperti perencat enzim penukar angiotensin (ACE).

Menurut Dr.  Zubaidi, air kelapa mengandungi potasium yang tinggi, apabila buah pinggang tidak dapat mengeluarkan potassium berlebihan dari badan dengan betul keadaan yang mengancam nyawa dipanggil hiperkalemia (terlalu banyak kalium dalam darah) boleh berlaku.

Justeru itu, hanya beberapa golongan sahaja yang tidak digalakkan minum air kelapa.  – RELEVAN

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok