SELAIN terkenal dengan nasi kandar, Pulau Pinang memiliki ‘hidden gem’ yang semakin popular iaitu Boulder Valley Glamping yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau.
Lokasi yang diselimuti kehijauan alam semula jadi itu sesuai untuk mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kota dan mencari ketenangan.
Biarpun bilik yang ditawarkan berkonsep kanopi, Boulder Valley Glamping tidak berkompromi soal keselesaan pengunjung. Tidak keterlaluan jika dikatakan pengunjung seolah-olah berada di hotel lima bintang, namun dikelilingi alam semula jadi.
Saat kaki melangkah masuk ke Boulder Valley Glamping, pengunjung disambut dengan alunan bunyi cengkerik dan aroma hutan yang cukup mendamaikan.
Menurut Pengurus Boulder Valley Glamping, Eugene Hoe, terdapat tiga jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Safari Tent, Tented Villa dan Chalet Room yang harganya bermula daripada RM300 sehingga RM800.
Sungguhpun berkonsepkan ala perkhemahan, kelengkapan asas disediakan antaranya pengering rambut, ketuhar gelombang mikro, soket elektrik bagi memudahkan pengunjung menggunakan barangan elektronik dan juga bilik mandi serta tandas dalam setiap bilik.
“Jika pengunjung mahu rasa seperti berada dalam khemah sebenar mereka boleh memilih Safari Tent yang dikelilingi kanvas, bezanya kelengkapan asas semua ada di dalam bilik termasuk perkhidmatan ‘room service’ untuk tempahan makanan.
“Tempat ini juga sering disewa untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, fotografi, yoga, Zumba, kem bina semangat (team building) syarikat swasta dan jabatan kerajaan serta pelbagai lagi.
“Biasanya pihak kami akan berbincang dengan pelanggan dan sebolehnya cuba memenuhi permintaan mereka mengikut kesesuaian bajet masing-masing,” ujar Eugene.
Lebih menarik, sayuran dan ulaman yang disajikan dalam menu di kafe Boulder Valley Glamping ditanam secara organik oleh kakitangannya.
“Disini sememangnya kita mahukan pengunjung menikmati alam semaksima yang mungkin. Tidak hanya pemandangan yang indah, tetapi makanan terutama sayuran dan ulaman yang dihidangkan turut ditanam di sini.
“Mungkin sebab itu Boulder Valley Glamping menjadi destinasi popular buat pengamal diet sayuran dan vegan kerana kami turut mempunyai menu untuk mereka,” terang Eugene.
Boulder Valley Glamping mula dibuka pada 2014 tetapi kini pengurusannya telah diambil alih oleh DXN Holdings Berhad.
Buat mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman indah di sini boleh membuat tempahan menerusi laman web Boulder Valley Glamping. – HIBGLAM