9 makanan merangsang kecerdasan otak si cilik

PEMAKANAN yang sihat dan seimbang bukan sahaja baik untuk tubuh badan, tetapi juga dapat meningkatkan kecerdasan otak. Oleh itu, ibu bapa disarankan menyediakan makanan berkhasiat untuk anak sejak di usia bayi.

Sehubungan itu, Pengamal Perubatan Am, Dr. Zubaidi Ahmad berkongsi sembilan makanan yang sangat baik untuk merangsang kecerdasan otak anak-anak.

Ikan

“Pakar sering menyarankan untuk memilih ikan yang mengandungi asid lemak bermanfaat seperti salmon kerana ia sumber terbaik asid lemak omega-3 yang penting untuk fungsi dan pertumbuhan otak anak.

“Beberapa kajian juga membuktikan, mereka yang gemar memakan ikan mengandung omega-3 memiliki daya fikiran tajam dan mencatat hasil baik dalam ujian kemampuan mental,” kata beliau menerusi perkongsian di Facebook miliknya.

 

Telur

All Posts

Ia sangat mudah, murah dan amat berkhasiat. Telur ialah sumber protein: Kuning telur mengandungi kolin yang berkhasiat membantu perkembangan otak.

Biasakan secara rutin memberikan sarapan atau makan malam yang sihat untuk anak dengan menu daripada telur.

Kacang

Kacang kaya vitamin E dan antioksidan yang dapat melindungi membran sel otak daripada radikal bebas terutama kacang makadamia dan badam. Untuk hasil terbaik, pilihlah kacang yang rendah gula dan natrium.

 

Sayuran berwarna

Tomato, bayam atau labu ialah makanan yang kaya antioksidan. Makanan ini dipercayai dapat membantu mempertahankan kekuatan dan kesihatan membran sel. Semakin segar dan cerah warna sayuran, makin tinggi kandungan antioksidannya. Beberapa sayuran juga memiliki manfaat mencegah kanser.

 

Oat atau oatmeal

Oat mengandungi karbohidrat yang akan diserap secara berperingkat oleh otak selama proses belajar di sekolah. Oat juga sumber yang baik untuk vitamin E dan B serta potasium dan zink yang membantu tubuh serta otak bekerja secara optimum.

Buah beri

Buah seperti strawberi, beri biru dan beri hitam kaya zat antioksidan seperti vitamin C. Kajian juga menunjukkan buah beri dapat memperbaiki daya ingatan.

Beri biru dan strawberi patut menjadi pilihan terbaik untuk makanan otak anak. Dalam satu kajian menunjukkan makanan yang mengandungi kadar flavonoid tinggi (strawberi, beri biru dan jenis beri lain) dapat memperlambatkan penurunan fungsi kognitif otak.

Kacang hijau

Makanan ini salah satu yang sangat disarankan untuk anak kerana kandungan nutrisinya yang sangat lengkap. Selain tinggi kadar protein dan karbohidrat kompleks, kacang hijau juga memiliki kandungan vitamin C, asid folat, zat besi, zink, potassium, magnesium, tembaga, mangan, fosfor dan tiamin yang semuanya penting bagi tubuh dan perkembangan otak.

Susu dan yogurt

Produk tenusu termasuk yogurt ialah makanan yang kaya protein, vitamin D dan B yang berperanan penting dalam pertumbuhan jaringan otak, neurotransmitter dan enzim. Yogurt ialah makanan yang semi padat sehingga lebih mudah dicerna dalam proses metabolisme tubuh.

Penelitian terbaru juga menunjukkan, kanak-kanak dan remaja memerlukan vitamin D 10 kali lebih banyak daripada yang disarankan. Vitamin D berguna untuk memelihara siklus hidup sel serta fungsi saraf dan otot.

Daging lembu bebas lemak

Makanan ini ialah sumber zat besi yang dapat membantu anak kekal bertenaga dalam memberi tumpuan di sekolah. Daging lembu tanpa lemak ialah sumber terbaik zat besi kerana mudah diserap oleh tubuh. Faktanya, 28 gram daging lembu setiap hari membantu tubuh menyerap zat besi daripada sumber makanan lain.

Daging lembu juga mengandung zink yang membantu memelihara daya ingatan. – RELEVAN

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok