ISU pembuangan radioaktif ke dalam laut Jepun menjadi perbualan hangat mutakhir ini. Oleh itu, adalah amat penting untuk kita mengamalkan pengambilan sumber makanan berkhasiat bagi melindungi diri daripada kesan sinaran radiasi.
Menurut Saintis Pemakanan, Dr. Suri Roowi, terdapat pelbagai jenis sumber tinggi antioksidan yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah tersebut.
Berikut beliau kongsikan enam makanan yang tinggi antioksidan untuk diamalkan. Mudah didapati dalam menu seharian kita.
Teh hijau
Bahan antioksidan dalam teh hijau dikenali sebagai epigallocatechin gallate (EGCG). Kajian menunjukkan bahan EGCG boleh kurangkan kesan bahaya yang disebabkan oleh sinaran radioaktif gamma.
Kajian ke atas tikus dengan memberi minum teh hijau selama 30 hari kemudian mendedahkannya kepada radiasi. Hasil kajian mendapati enzim antioksidan dalam darah meningkat selepas radiasi,” kongsi Suri di Facebook miliknya.
Selain itu, teh hijau juga kaya bahan khasiat asid galik. Kajian ke atas sampel darah manusia selepas terdedah kepada sinaran radiasi menunjukkan asid galik dapat bantu halang kerosakkan DNA.
Tomato
Tomato kaya bahan antioksidan lycopene. Kajian mendapati pengambilan sumber tinggi lycopene dalam kalangan pesakit kanser yang menjalani kemoterapi da n radioterapi membawa kepada hasil yang baik.
Hasil kajian mengesahkan bahawa bahan khasiat lycopene dalam tomato juga boleh kurangkan kerosakan sel akibat sinaran radioaktif. Selain itu, ia juga boleh tingkatkan enzim antioksidan dalam darah.
Ubi bit
Ubi bit kaya dengan bahan khasiat betalain. Kajian ke atas tikus menunjukkan pemberian ubi bit selama 30 hari sebelum didedahkan kepada radioaktif dapat turunkan sel darah putih dan tingkatkan sel darah merah.
Bayam, kubis dan brokoli
Bahan khasiat kaempferol terdapat dalam bayam, kubis dan brokoli. Sumber lain tinggi kaempferol adalah strawberi, anggur dan teh.
Kajian menunjukkan pengambilan sumber tinggi kaempferol sebelum terdedah kepada sinaran radioaktif boleh kurangkan kehilangan berat badan selepas radiasi. Ia juga boleh mengurangkan kecederaan organ akibat sinaran.
Makanan tinggi antioksidan – Asid Ferulik
Asid ferulik terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran seperti jagung manis, rebung buluh, tomato, beras bran, gandum dan brokoli. Asid ferulik adalah antioksidan yang kuat dan boleh kurangkan radikal bebas.
Kajian menunjukkan pengambilan sumber tinggi asid ferulik sebelum radiasi dapat menghalang kerosakan DNA dan tingkatkan enzim antioksidan darah.
Ambil sumber tinggi antioksidan – Asid Salvianolik
Chinese sage atau danshen adalah sumber tinggi antioksidan asid salvianolik. Perubatan tradisional Cina banyak menggunakan tumbuhan ini.
Asid salvianolik adalah antioksidan yang berkesan mengurangkan radikal bebas. Penyelidikan menunjukkan bahawa tumbuhan ini boleh membantu masalah jantung dan melindungi hati.
Kajian menunjukkan salvianolik memberi perlindungan daripada kerosakan struktur protein akibat radiasi. Ia juga mengurangkan radikal bebas dan tingkatkan antioksidan dalam darah.
Justeru, penting untuk kita amalkan makanan kaya antioksidan. Walau bagaimanapun, pengambilan semua makanan ini bergantung kepada keperluan tubuh dan penyakit yang dihidapi. – RELEVAN