Neonate, SVG Worldwide bakal gegarkan Litar Antarabangsa Sepang

KOLABORASI dua jenama streetwear terkemuka Malaysia, Neonate dan SVG Worldwide mengendalikan acara pertunjukan fesyen diberi nama ‘Race Day’ mencuri perhatian pencinta dunia fesyen.

Lebih menarik, pertunjukan fesyen Neonate X SVG yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 20 Ogos itu merupakan sebahagian daripada acara terkemuka Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23) yang akan bermula sehari kemudian.

Pengasas SVG Worlwide, Ashraf Anuar berkata, peluang menjadi sebahagian daripada KLFW23 cukup bermakna sekali gus dapat memperkenalkan lagi jenama mereka.

“Walaupun penglibatan kami di luar jadual rasmi KLFW23, kolaborasi istimewa ini membuka ruang kepada kami yang masih hijau dalam industri fesyen untuk lebih dikenali.

Acara-acara sokongan yang kami anjurkan bagi mempromosikan kolaborasi ini menggambarkan semangat sebenar streetwear menerusi gabungan fesyen dan komuniti.

“Kami berbesar hati dan tidak sabar mempamerkan koleksi yang telah diilhamkan khas untuk kolaborasi Neonate X SVG ini kepada orang ramai khususnya pencinta streetware,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Kreatif Neonate Clothing Company, Karl Shafek memaklumkan kempen kolaborasi Neonate X SVG bermula sejak Jun lalu.

Menerusi kempen itu, berlangsungnya pencarian wajah baharu dari seluruh tanah air yang akan memperagakan koleksi mereka nanti.

Misi pencarian model mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 700 muka baharu hadir mencuba nasib. Daripada jumlah itu, kami telah menyenarai pendek 77 model yang dianggap terbaik untuk mewakili rekaan kami dan koleksi akan datang,” kata Karl.

KESEMUA model yang bakal beraksi di acara pertunjukan fesyen itu nanti menghadiri kem latihan kendalian model terkenal, Tinie.

Tambah Asyraf, bagi memastikan kesemua model itu benar-benar bersedia beraksi pada hari kejadian, pihaknya dan Karl telah menganjurkan kem latihan kendalian model terkenal, Tinie.

“Tinie nama besar di pentas peragaan dan pernah bekerja dengan ramai pereka tempatan dan antarabangsa. Menerusi kursus intensif ini, kesemua model kami didedahkan dengan ilmu peragaan dan tampak sangat komited,” ujarnya.

Selain itu, Neonate dan SVG bergabung tenaga menganjurkan acara sampingan Street Glare yang menghimpunkan lebih 100 jurugambar, juruvideo dan pereka konten untuk mempelajari asas fotografi jalanan di bawah tunjuk ajar jurugambar terkenal, Hishamudin Hashim atau Abeden.

LEBIH 100 jurugambar, juruvideo dan pereka konten menyertai acara Street Glare yang menjadi sebahagian kempen Neonate X SVG.

“Menerusi program ini, 77 model pilihan kami tampil sebagai subjek utama. Pengalaman ini sudah tentunya amat bermakna buat model kami kerana mereka dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari di kem latihan model,” kata Asyraf yang turut memaklumkan perkembangan terkini acara Race Day boleh diperolehi menerusi media sosial Neonate dan SVG.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok