Selain mendapatkan rawatan estetik, anda juga boleh cuba menggunakan bahan alami dari rumah dengan kos yang sangat murah dan berkesan. Pokok pangkalnya, anda kenalah rajin!

Berikut 5 bahan alami dari rumah yang boleh anda cuba bagi merawat masalah gelap bawah mata:

TOMATO kaya dengan khasiat, bukan sahaja boleh dimakan bahkan digunakan dalam merawat masalah kulit. – GAMBAR HIASAN/PEXELS

  1. Tomato

Tomato kaya dengan fphytochemicals seperti likopena dan beta-karotena yang mengurangkan kerosakan oksidatif pada tisu kulit dan mengurangkan eritema (kemerahan) kulit. Ini boleh membantu menghilangkan lingkaran hitam yang terbentuk di bawah mata.

Cara penggunaan: Buat pes dengan menggabungkan tomato dan jus lemon. Sapukan di sekeliling mata anda dan biarkan selama 20 minit. Bilas sebersih-bersihnya. Lakukan rutin ini sekali atau dua kali seminggu.

TIMUN antara bahan yang dipercayai mampu mengurangkan lingkaran gelap bawah mata. – GAMBAR HIASAN/PEXELS

  1. Timun

Timun mengandungi sebatian bioaktif dan vitamin yang boleh menghalang aktiviti tyrosinase. Ini boleh membantu mengurangkan pigmentasi di sekeliling mata.

Cara penggunaan: Anda memerlukan satu timun dan satu sudu teh gel aloe vera. Kisar bahan-bahan untuk membuat pes tebal.

Sapukan pes ini ke kawasan yang terjejas dan biarkan selama 15 minit. Kemudian basuh dengan air bersih. Anda boleh menggunakan pes ini sekali sehari.

SISA kafein dipercayai membantu menyempitkan saluran darah bagi mengurangkan aliran darah dan membantu memberikan sedikit kelegaan daripada lingkaran hitam. – GAMBAR HIASAN/PEXELS

  1. Uncang teh sejuk

Salah satu cara yang paling berkesan dan sangat mudah untuk memerangi lingkaran hitam ini adalah dengan menggunakan uncang teh sejuk. Sebaiknya, gunakan uncang teh hijau atau chamomile untuk hasil yang cepat.

Adalah dipercayai bahawa sisa kafein membantu menyempitkan saluran darah bagi mengurangkan aliran darah dan membantu memberikan sedikit kelegaan daripada lingkaran hitam.

Cara penggunaan: Rendam uncang teh ke dalam air dan sejukkan di dalam peti sejuk. Keluarkan dari peti dan letakkan perlahan-lahan pada kedua-dua mata anda selama 10 hingga 15 minit. Ulang secara berkala.

SUSU sejuk mengandungi asid laktik yang bukan sahaja membantu mengurangkan bengkak tetapi mampu mencerahkan kulit. – GAMBAR HIASAN/PEXELS

  1. Susu Sejuk

Susu sejuk adalah pembersih semula jadi untuk kulit sekitar mata dan juga membantu menenangkan kulit sensitif di sekeliling mata anda.

Susu sejuk mengandungi asid laktik yang bukan sahaja membantu mengurangkan bengkak tetapi juga mencerahkan kulit. Selain itu, kalium dalam susu membolehkan kulit kekal lembap dengan lebih baik, menjadikan kulit lebih lembut dan anjal.

Cara penggunaan: Celupkan kapas ke dalam susu sejuk dan sapukan pada kawasan mata. Biarkan seketika dan kemudian bilas dengan air sejuk. Ulang sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

MELETAKKAN kapas yang direndam dalam air mawar di kawasasan mata antara kaedah yang digunakan bagi merawat masalah lingkaran gelap di bawah mata. – GAMBAR HIASAN/PEXELS

  1. Air mawar

Air mawar menyegarkan, meremajakan dan boleh digunakan secara praktikal pada hampir semua jenis kulit dan untuk semua isu berkaitan kulit. Ia juga boleh digunakan sebagai penyegar kulit yang berkesan.

Cara penggunaan: Rendam kapas dalam air mawar dan letakkan di kawasan mata. Biarkan selama 10 hingga 15 minit. Ulang setiap malam selama sebulan untuk melihat hasil terbaik. – SUMBER RELEVAN