Tanda-tanda awal kepala air

BARU-BARU ini, negara dirundung dengan berita menyayat hati melibatkan tragedi kepala air.

Fenomena kepala air berlaku apabila aliran air sungai menjadi kuat akibat hujan lebat di kawasan anak sungai atau hulu sungai sebelum mengalir ke sungai utama.

Keadaan tersebut diburukkan lagi jika di kawasan terbabit terdapat air bawah tanah serta kejadian runtuhan tanah di hulu sungai.

Impak kelajuan arus yang terbentuk daripada insiden itu menyebabkan ia seakan-akan berlaku dalam sekelip mata.

Pada minggu ini, Horizon ingin berkongsi tip untuk mengesan tandatanda awal kepala air sebagai langkah berjaga-jaga.

SEGERA tinggalkan sungai sekiranya kawasan hulu sungai dan puncak bukit kelihatan
mendung. – GAMBAR HIASAN

Langit gelap di bahagian hulu sungai

Sebelum merancang untukmelakukan aktiviti di lokasi air terjun dan sungai, orang ramai digalakkan untuk memantau keadaan cuaca di kawasan sekitar terlebih dahulu.

Sekiranya anda mendapati langit di hulu sungai atau puncak bukit kelihatan semakin mendung, ambil inisiatif untuk segera tinggalkan lokasi sungai tadi.

Walaupun langit di kawasan tempat mandi-manda itu masih cerah, namun berkemungkinan pada bahagian hulu sungai sudah turun hujan.

Bunyi guruh dan kilat

Kilat dan guruh biasanya akan muncul ketika hujan sebagai tindak balas kepada perubahan suhu persekitaran. Jika terdengar bunyi guruh dan ternampak pancaran kilat, segera tinggalkan kawasan sungai.

Tidak mustahil hujan lebat sudah berlaku di atas bukit.

Berhati-hati sekiranya ada bunyi dentuman gerakan batu-batu di dalam sungai.

Bunyi dentuman batu dalam sungai

Arus deras dari atas bukit akan menolak batu-batu kecil untuk turun mengikuti aliran sungai ke bahagian sungai utama.

Ini akan menghasilkan bunyi dentuman gerakan batu-batu di dalam sungai dan ia boleh dijadikan sebagai satu amaran.

Kejadian banjir kilat dan kepala air selepas hujan lebat di Kampung Iboi, Kupang, Kedah pada 2022.

Air sungai kekuningan dan berbuih

Peningkatan arus air dari bahagian atas bukit akan menyebabkan banyak partikel-partikel tanah dibawa bersama. Ini akan menyebabkan air sungai berubah warna kepada kekuning- kuningan secara tiba-tiba.

Perkara ini juga akan membuatkan air sungai berbuih dengan jumlah yang banyak di bahagian permukaan.

Kemusnahan disebabkan bencana kepala air.

Isi sungai terapung

Kelajuan air menyebabkan ke semua isi alam yang ada di dalam sungai dihanyutkan bersama. Isi sungai tersebut termasuklah keladak, daun reput, ranting serta kayu-kayu kecil.

Jika nampak objek-objek ini muncul dengan banyak di permukaan air, segera tinggalkan tebing sungai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok