RAMAI juga sebenarnya yang bersetuju apabila penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada 3 Mac nanti.
Alasan penyanyi bersuara ‘jantan’ itu enggan bertanding di AJL38 selepas dia mendapat tahu pihak penganjur menjual tiket kepada penonton.
Namun, peserta yang bertanding tidak mendapat apa-apa bayaran. Walaupun ada yang kecewa apabila Jamal menarik diri, namun ramai juga yang menyokong tindakan penyanyi itu yang dianggap profesional.
Netizen turut mempersoalkan tentang penjualan tiket kepada penonton, sedangkan sebelum ini penganjuran AJL diadakan secara percuma sahaja kepada orang ramai untuk mendapatkan tiket.
“Setuju dengan Datuk Jamal. Kalau penganjur tak jual tiket, iklan yang masuk sahaja sudah mencecah jutaan ringgit.
Tapi artis yang bertanding masuk ‘free’ sahaja,” kata seorang netizen.
“Harap artis lain pun tarik diri,” kata seorang lagi netizen.
DIVA: Tak baik ada seorang kawan Diva ketawakan watak Fattah Amin dalam filem Trinil: Kembalikan Tubuhku. Sebab kelakar katanya.