Acara fesyen terkemuka Met Gala 2024 masih lagi menjadi topik hangat netizen ditambah pula dengan penampilan sulung kumpulan Stray Kids yang meninggalkan pelbagai impak.
Lebih mengujakan, lapan jejaka kegilaan ramai itu menjadi kumpulan K-Pop pertama dijemput menghadiri pentas fesyen berprestij berkenaan.
Bagaimanapun, tular sebuah video dalam aplikasi X mendakwa jurufoto bertugas mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ketika sesi bergambar di acara karpet merah.
Jurugambar tersebut didakwa melemparkan kenyataan berkenaan wabak Covid-19 dan mengejek rupa paras anggota kumpulan tersebut.
Saya rasa macam nak dapat Covid semula bila lihat mereka.
“Kenapa mereka nampak macam robot? Saya tak pernah lihat muka orang tidak berperasaan seperti ini,” katanya.
Ramai peminat meluahkan rasa marah dengan sikap biadab petugas itu.