KALAU di Malaysia, kita sering disajikan dengan cerita-cerita seram terutamanya semasa tinggal di asrama ketika zaman persekolahan.
Bukan sahaja Malaysia, negara jiran iaitu Indonesia juga sangat terkenal dengan kisah hantu seperti pontianak, pocong dan penanggal.
Ada yang percaya, ada juga yang tidak. Namun, siapa sangka di negara Korea juga mereka obses dengan dunia mistik.
Daebak kali ini menyenaraikan beberapa artis Korea yang pernah berhadapan detik seram sepanjang bergelar artis.
- Jungkook
SEWAKTU mengadakan sesi rakaman lagu baharu, penyanyi kumpulan BTS, Jungkook mengakui pernah berjumpa hantu.
Paling menyeramkan apabila dia memaklumkan ada suara hantu dalam rakaman lagunya itu.
Pada mulanya rakaman suaranya ada sedikit masalah dan dia mahu mendengar semula.
Apabila pemilik nama lengkap Jeon Jung-kook itu memasang semula audio, dia perasan ada suara lain yang meniru nyanyiannya.
Disebabkan itu, albumnya menjadi produk seni paling laris dalam sejarah BTS.
- Hwiyoung
PENYANYI rap, Hwiyoung pernah berhadapan kisah seram sekitar tahun 2017.
Semuanya berlaku semasa dia sedang menjalani penggambaran di sebuah hotel yang berusia 200 tahun di Amerika Syarikat untuk muzik video O Sole Mio.
Semasa menginap di sana, penyanyi berusia 25 tahun itu ditindih ketika tidur di hotel berkenaan dan mendengar seseorang sedang menyanyikan lagu di sebelah.
Bukan sahaja Hwiyoung, ada petugas lain yang turut terlihat kelibat hantu.
- Naeun
SATU-SATUNYA artis wanita yang pernah berhadapan kisah mistik ialah penyanyi Naeun.
Naeun berkongsi kisah pernah ternampak kelibat lembaga di penginapan lokasi penggambaran yang terkenal memang ‘keras’ dan menyeramkan sekitar tahun 2018.
Tidak mahu berfikiran buruk, bekas kumpulan Apink itu hanya beranggapan lembaga tersebut adalah bayang pengurusnya pada mulanya.
Namun, pengurusnya ketika kejadian tidak berada di lokasi tersebut ketika itu.
Naeun atau Lee Na-eun juga mendakwa terasa seperti ada mata yang melihatnya sedang mandi. Memang seram!
- Romeo
KUMPULAN Romeo turut berhadapan kisah seram ketika menyiapkan rakaman album baharu mereka.
Katanya, mikrofon digunakan mereka tiba-tiba bergerak secara sendiri.
Mereka juga berkali-kali cuba memperbaiki kedudukan tetapi alat muzik itu tetap bergerak.
Meskipun keadaan itu sangat menyeramkan, namun mereka percaya gangguan tersebut akan memberi tuah kepada album baharu mereka, Miro yang dilancarkan pada 2016.
- Baekhyun
SELAIN Hwiyoung, penyanyi kumpulan EXO iaitu Beakhyun juga pernah berhadapan detik seram semasa menjalani penggambaran muzik video.
Pemilik nama lengkap Byun Baek-hyun itu mendedahkan pernah terdengar suara wanita yang menakutkan semasa menjalani penggambaran video muzik MAMA.
Namun, suara tersebut hanya boleh didengar menerusi video tersebut walaupun dalam rakaman asalnya tiada suara wanita yang digunapakai.
Dedah penyanyi berusia 32 tahun itu, suara tersebut menyebut ‘terima kasih semuanya’ dalam bahasa Mandarin.