DUNIA hiburan K-pop dikejutkan dengan kematian penyanyi, Park Bo-ram yang ditemui sudah tidak bernyawa di dalam tandas kediaman milik rakannya.
Menurut laporan media Korea Selatan, penyanyi berusia 30 tahun itu menziarahi kediaman rakannya untuk menghabiskan masa bersama sebelum ke tandas sekitar pukul 9.55 malam semalam.
Disebabkan Bo-ram terlalu lama berada di dalam tandas, rakannya tidak sedap hati dan bertindak memeriksa apa yang terjadi.
Selepas membuka pintu tandas, Bo-ram didapati berada dalam keadaan membongkok di sebelah sinki dan tidak sedarkan diri.
Sementara menunggu ketibaan ambulans, pelantun lagu Beautiful itu cuba diberikan bantuan pernafasan namun tidak menunjukkan sebarang respons.
Bo-ram kemudiannya dikejarkan ke Hospital Guri Universiti Hanyang, Seoul sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.17 malam.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan punca kematian mendiang. – HIBGLAM