4 bintang ‘kimchi’ pejuang kanser

SELAGI namanya manusia, tiada seorang pun dapat lari daripada dihambat masalah kesihatan. Lambat atau cepat, itu sahaja jadi perbezaan.

Situasi sama turut dilalui segelintir selebriti Korea Selatan yang terpaksa berdepan masalah kesihatan seperti kanser sehingga terpaksa berehat daripada industri seni demi menjalani rawatan sewajarnya.

Berbekalkan ketabahan bersulam saki baki semangat kehidupan menjalani pelbagai rawatan, beberapa orang daripada selebriti ini telah sembuh dan diumumkan sebagai bebas kanser.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa orang selebriti Korea Selatan yang berjuang melawan kanser sehingga kembali pulih sepenuhnya.

Kim Woo-bin

Nama sedang meledak menerusi lakonan dalam deretan naskhah popular, pada tahun 2017, aktor Kim Woo-bin mengejutkan ramai peminat apabila disahkan menderita kanser Nasopharyngeal.

Disebabkan keadaan kesihatannya berada di tahap tidak begitu baik, jejaka berusia 34 tahun itu dengan berat hati memilih untuk berehat daripada segala aktiviti seninya demi menjalani rawatan.

Selama masa dalam rawatan, pelakon raut tampan itu perlu menjalani kemoterapi sehingga terapi radiasi.

Berkat doa peminat dan tekad perjuangannya melawan rasa sakit, keadaan kesihatan kini Woo-bin bertambah baik dan kembali ke dunia seni lakon dengan projek terbaharu siri drama Netflix bertajuk Black Knight selepas itu

Uhm Jung-hwa

Siapa tidak kenal dengan figura jelita bernama Uhm Jung-hwa yang membintangi deretan naskhah popular Korea Selatan.

Dalam pada karakternya yang sentiasa riang dan peramah baik dengan media mahupun peminat, siapa sangka bintang yang meledak dengan drama Doctor Cha itu pernah melalui fasa getir dalam kehidupan diuji dengan penyakit.

Tiada angin tiada ribut, aktres berusia 54 tahun itu didiagnos menghidap kanser tiroid pada tahun 2010.

Pada waktu itu, Jung-hwa menjalani sesi rawatan dan pemulihan yang memakan waktu berbulan-bulan sehingga terpaksa melupakan kariernya seketika.

Kendatipun pernah mengalami kecacatan pita suara selama bertarung dengan penyakit tersebut, kini Jung-hwa tersenyum riang apabila sudah bebas sepenuhnya daripada penyakit berbahaya tersebut.

Park So-dam

Berkongsi keperitannya selama menghidap penyakit maut tersebut, Park So-dam mencuri perhatian khalayak apabila disahkan menghidapi kanser tiroid papilari pada 2021.

Mengakui seperti berpantang maut sebelum ajal, pelakon filem Parasite itu berdepan fasa sukar dan tidak selesa kerana tiasa suara dan amat terbatas untuk bergerak.

Aktres berusia 32 tahun itu tidak menyerah kalah dan berusaha untuk bangkit sehingga berjaya bebas daripada penyakit tersebut. Kini pelakon pulih sepenuhnya dan sedang sibuk menjalani pelbagai penggambaran drama dan filem.

Hong Jin-kyung

Tidak ketinggalan juga dalam senarai Kimchi Panas minggu ini adalah artis serba boleh, Hong Jin-kyung yang cekal berjuang melawan penyakit kanser ovari sekitar 2014.

Terpaksa akur dan berehat sementara daripada dunia seni, wanita berusia 46 tahun itu menjalani rawatan perubatan selama dua tahun lamanya.

Berbekalkan semangat dan kekuatan semangat, Jin-kyung secara rasmi mengumumkan dirinya telah sembuh dan bebas dari penyakit kanser usai bertahun rawatan.

Kini, pelakon tinggi lampai itu kembali aktif dalam industri hiburan Korea Selatan dan kerap kali menjulang pelbagai anugerah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok