DILABEL artis tidak bermoral dan suka berfoya-foya, anggota kumpulan Tempest, Hwarang menegaskan dirinya sering ke kelab malam hanya untuk menikmati muzik tanpa meneguk minuman beralkohol.
Ujar penyanyi berusia 23 tahun itu, dia seorang manusia biasa yang inginkan masa untuk berhibur dan mempunyai hak untuk berbuat demikian, namun masih menjaga batas-batas sebagai idola.
“Ya saya mengaku saya suka pergi kelab, tetapi saya tidak melakukan apa-apa yang buruk. Saya hanya pergi untuk menikmati muzik.
“Saya tidak minum alkohol berlebihan sehingga mabuk, saya masih jaga imej dan status saya. Saya punya hak meluangkan masa menghiburkan diri sendiri, mengapa itu menjadi satu kesalahan,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Syarikat pengurusannya, Yuehua Entertainment telah mengeluarkan kenyataan rasmi permohonan maaf atas isu tersebut.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat kerana tindakan Hwarang.
“Hwarang sudah berjanji tidak akan mengulangi kelakuan sedemikian lagi dan pihak kami juga akan mengambil perhatian dan memastikan isu sebegini tidak berulang,” ujar Yuehua Entertainment dalam satu kenyataan rasmi.