ENGGAN terus menipu peminat dengan persembahan sempurna, penyanyi Lee Hyori mengaku tidak menyanyikan secara langsung sebaliknya hanya melakukan lip-sync.
Begitupun, wanita berusia 45 tahun itu berpendapat perkara itu wajar kerana idola perlu melakukan koreografi dan berinteraksi dengan penonton yang memerlukan banyak stamina selain tidak mahu mengganggu nyanyian.
“Saya sangat suka lip-sync dan memang kebanyakan idola juga berbuat perkara sama, atau memasang suara latar pada bahagian tertentu yang mereka tidak boleh capai ketika siaran langsung.
“Bagi saya itu bukan perkara teruk sebab idola perlu menari dan menyanyi pada masa sama, kalau tak lip-sync, boleh tercungap-cungap dibuatnya.
“Lagi pula lip-sync tidak semestinya penyanyi itu tidak boleh menyanyi secara siaran langsung atau tiada bakat. Mereka ada sebab tersendiri, orang ramai cuba jadi idola baru faham mengapa mereka berbuat demikian,” tegasnya.