Depresi, Han Geng nyaris bunuh diri

Melalui fasa sukar pada awal kemunculan sebagai idola K-pop, bekas anggota kumpulan Super Junior, Han Geng mengakui pernah berdepan depresi dan hampir membunuh diri.

Lelaki berusia 40 tahun itu memberitahu, tekanan bertalu-talu yang dihadapi ketika menjadi pelatih cukup membuatkan dia terfikir untuk mengambil nyawanya sendiri bagi menamatkan penderitaan dihadapi.

Menambahkan perit, ketika itu dia turut mengalami masalah kewangan kerana perlu menghantar wang belanja untuk keluarganya di China.

“Saya tinggal di sebuah asrama dan rasa sangat tertekan sehingga mengalami mimpi buruk setiap malam.

“Saya hubungi bapa dan beritahu ingin bunuh diri tetapi saya beruntung kerana semua anggota Super Junior sangat baik dan sering memberikan kata-kata semangat buat saya,” ujarnya dalam satu rancangan temu bual.

Han Geng memulakan latihan sebagai idola K-pop seawal usia 19 tahun sebelum muncul bersama Super Junior pada 2005.

Jejaka tinggi lampai itu memberitahu, pernah berkecil hati dengan bapanya ketika menandatangani perjanjian bersama syarikat pengurusannya di Korea Selatan.

Jelasnya, antara terma yang tertulis dalam perjanjian itu ada menyebut perkataan ‘saya jual’ yang membuatkan dirinya terasa seperti diperdagangkan bapa sendiri.

Lebih teruk, gaji diterima selepas bergelar artis juga lebih rendah kerana dia perlu membayar semula pinjaman wang sepanjang tempoh latihan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok