4 bintang K-pop ‘berdarah’ Malaysia

BARANGKALI ramai menyangka deretan bintang K-pop ‘mendunia’ kebanyakannya berasal dari Korea Selatan, paling tidak hanya anggota kumpulan Blackpink, Lisa sahaja yang diketahui khalayak dirinya asal Thailand.

Namun, ramai tidak mengetahui dalam kalangan selebriti Korea, ada yang mempunyai kaitan rapat dengan negara Malaysia.

Malah, jangan terkejut kerana ada segelintir selebriti asal negara ginseng itu pernah bersekolah dan menetap di negara ini.

Kimchi Panas minggu ini merangkumkan kisah beberapa selebriti Korea Selatan yang mempunyai kaitan secara langsung mahupun tidak dengan Malaysia.

Isaac Voo

Anggota kumpulan IN2IT, Isaac dilahirkan pada 12 Disember 1994 di Kota Kinabalu, Sabah dan merupakan anak bongsu. Dia mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa di daerah Likas dan Sekolah Menengah Lok Yuk.

Isaac menunjukkan minat terhadap arena hiburan pada usia 17 tahun semasa menyertai persembahan untuk Hari Guru sekolah.

Mahu bakat diperakui ramai, dia kemudiannya mula menyertai pertandingan pencarian bakat yang akhirnya membawanya kepada siri rancangan realiti televisyen Korea Selatan, BOYS24.

Selepas berjaya terpilih sebagai pemenang rancangan BOYS24, Isaac mengumumkan pada Ogos 2017 bahawa dia berjaya mendapat tempat sebagai salah seorang peserta kumpulan Re-Born dan menjadi ahli kumpulan IN2IT sekali gus menjadikannya sebagai artis K-pop pertama Malaysia.

Pada tahun 2022, Isaac Voo kembali ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya muzik secara solo sementara ahli kumpulan IN2IT yang lain menjalani latihan ketenteraan yang diwajibkan di Korea Selatan, seterusnya diumumkan sebagai artis residen Prodigee Asia Talent.

Han Ji-sung

Siapa tidak kenal susuk tampan Han Ji-sung yang merupakan idola terkenal K-pop dan ahli kumpulan lelaki, Straykids kegilaan ramai.

Siapa sangka di sebalik kejayaan karier seninya, jejaka tinggi lampai itu pernah menetap di Malaysia selama enam tahun sejak berusia lapan tahun.

Sudah sebati dengan adat dan budaya orang Malaysia, Ji-sung mengakui tidak kekok, malah senang berada di sini kerana mempunyai ramai kawan.

Mana tidaknya, idola berusia 24 tahun itu pernah mendapat pendidikan di Sekolah Antarabangsa Fairview di Ampang, Selangor sebelum namanya meledak di Korea Selatan.

Chae Song-ah

Aktres berbakat besar, Chae Song-ah merupakan pelakon dalam drama fenomena di Korea Selatan iaitu My Strange Hero.

Menurut sebuah laporan, Song-ah berkahwin dengan lelaki asal Malaysia dan membuka restoran berasaskan barbeku ala Korea dan mempunyai sekitar tujuh cawangan di seluruh negeri dalam Malaysia.

Begitupun, juadah di restoran tersebut tidak berstatus halal dan target audiens mereka hanya untuk mereka yang bukan beragama Islam.

Kini wanita berusia 44 tahun itu menetap di Johor di samping suami tercinta dan kerap kali berulang-alik dari Malaysia ke Korea Selatan sekiranya mempunyai tawaran lakonan di sana.

Mengakui sudah jatuh cinta dengan budaya orang Malaysia, Song-ah dilihat sering menggunakan bahasa Melayu ketika berkongsi status dalam platform media sosial miliknya.

Tan Jung-san

Tan Jung-sang merupakan pelakon baharu yang cukup dikenali di Korea Selatan, malah wajahnya menjadi antara rebutan sutradara untuk menghiasi watak dalam naskhah mereka.

Jejaka berusia 21 tahun itu mengakui Malaysia sentiasa dekat di hatinya kerana bapanya merupakan warganegara Malaysia sementelah ibunya pula merupakan orang Korea Selatan.

Dengan raut tampan setara dengan kualiti lakonan yang berkesan di hati penonton, Jung-sang pernah meledak melalui beberapa drama antaranya Move To Heaven, Crash Landing On You, Rackets Boys dan banyak lagi.

Lebih mengujakan, Jung-sang sentiasa dipuji pelakon senior yang rata-ratanya menyifatkan lakonan lelaki tinggi lampai itu sangat berkesan dan tidak ‘kayu’ meskipun masih hijau dalam industri seni.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok