POPULARITI aktres Kim Yoo-jung naik mendadak sejak kebelakangan ini impak naskhah My Demon lakonan bersama aktor Song Kang sedang hangat disiarkan laman penstriman popular Netflix.
Naskhah genre romantik komedi tersebut mencetuskan fenomena luar biasa dek keunikan jalan dan ‘visual indah’ bintang utamanya.
Yoo-jung yang sebelum ini sinonim dengan watak-watak berat juga buat pertama kali melakonkan watak santai, seorang gadis kaya pemilik syarikat bernama Do Do Hee dan perkahwinan kontrak dalam My Demon.
Ramai peminat menantikan watak seperti ini daripada saya, jadi ini adalah hadiah buat mereka. Ikutkan watak ini sangat jauh berbeza dengan karakter saya yang sebenar.
“Bahkan saya bersyukur peminat mengatakan mereka dapat melihat sisi berbeza saya dalam lakonan. Ini kerana, nada suara dan dialog yang dilontarkan dalam drama ini memang tidak pernah saya lakukan dalam karya sebelum ini,” tutur Yoo-jung.
Biarpun drama berkenaan masih bersiaran, Yoo-jung dan heronya Song Kang telah berjaya menawan hati industri apabila dipilih sebagai penerima anugerah Pasangan Terbaik dalam SBS Drama Awards 2023, baru-baru ini.
Lebih mengujakan, Yoo-jung yang juga pengacara majlis anugerah berkenaan bersama pelawak popular, Shin Dong-yup turut membawa pulang Top Excellence Award (Drama Romantik Komedi) bagi kategori pelakon wanita.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan drama My Demon. Ini merupakan tahun ke-20 usia kerjaya seni saya, sejujurnya saya tidak pernah tahu bila saya bermula dan sudah berapa banyak karya yang saya lakonkan.
“Namun, disebabkan begitu ramai yang menghargai bakat dan mengambil berat akan diri saya, membuatkan saya selalu menilai diri sendiri.
“Sekarang saya mahu capai impian dan cuba buat yang terbaik dan pastikan menjadi orang yang sihat,” tutur Yoo-jung dalam nada sebak ketika memberi ucapan di atas pentas anugerah.
Baca artikel penuh menerusi Kosmo! Online atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.